Hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.22 trilion - PM

Iklan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Hutang kerajaan Persekutuan meningkat RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga telah membuat pinjaman kasar berjumlah RM70.5 bilion bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pinjaman kasar itu meliputi terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak RM30 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (RM34.5 bilion) dan bil Perbendaharaan (RM6 bilion).

"Terimaan pinjaman ini digunakan untuk membayar hutang yang matang sebanyak RM20.6 bilion dan baki RM49.9 bilion untuk menampung defisit dalam tempoh tersebut serta hutang yang akan matang.

Iklan

"Secara amnya, peningkatan hutang kerajaan Persekutuan saban tahun adalah berikutan keperluan kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai defisit fiskal iaitu untuk menampung perbelanjaan pembangunan (DE).

"Pinjaman ini akan meningkatkan paras hutang kerajaan selagi mana kedudukan kewangan kerajaan mengalami defisit. DE penting kerana ia merupakan pelaburan awam (public investment) yang mempunyai kesan pengganda besar dan berimpak tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai justifikasi kepada kenaikan hutang kerajaan Persekutuan RM64 bilion dalam tempoh 4 bulan bermula Januari 2024 sehingga April 2024.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal dengan defisit pada 2023 mencatat pengurangan kepada 5.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak RM91.4 bilion berbanding 5.6 peratus pada 2022 atau RM99.5 bilion.

Beliau dalam masa sama berkata, defisit fiskal pada 2024 diunjur untuk terus berkurang kepada 4.3 peratus KDNK iaitu RM85.4 bilion.

"Usaha ini mampu untuk menambah baik kedudukan kewangan awam seterusnya mengurangkan beban hutang dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.