KUALA LUMPUR - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor membuat laporan polis terhadap pemilik akaun TikTok bernama @apong606 kerana menyiarkan kandungan berunsur fitnah mengaibkan dirinya yang mendakwa mahu menjatuhkan Orang Asli.
Ramli berkata, dakwaan yang disiarkan pada 10 Julai lalu adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan berbaur hasutan.
Menurutnya, beliau merasakan ucapan disiarkan itu sebagai satu kenyataan memalukan dan menjatuhkan maruahnya sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands dan satu-satu ahli Parlimen mewakili Orang Asli serta selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
"Seterusnya, Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang menyatakan jika mana-mana individu membuat atau menerbitkan kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.
Pada 10 Julai lalu, pemegang akaun TikTok @apong606 memuat naik kenyataan yang mendakwa Ramli telah makan ‘dedak’ dan mahu memusnahkan Orang Asli.
Tambah Ramli, beliau juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) membabitkan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian menghantar komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu.
"Diharapkan agar pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan hasutan ini.
"Oleh itu, saya sekali lagi ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama masyarakat Orang Asli agar tidak menyebarkan sebarang fitnah dalam platform media sosial masing-masing jika perkara itu tidak tepat dan tidak sahih,” ujarnya.