TAIPING - Mahkamah Tinggi di sini memutuskan individu yang tidak memiliki kad pengenalan sejak lahir, boleh berkahwin secara sah di negara ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan saman pemula oleh K Kamaladevi, 46, dan dua anak serta tiga cucu, yang mahukan perisytiharan mereka merupakan rakyat Malaysia.
Menerusi keputusan penghakiman yang dimasukkan ke sistem kehakiman pada Isnin Minggu lalu, Noor Ruwena berkata, pihak berkuasa masih boleh mendaftarkan perkahwinan biarpun individu terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Mahkamah turut mengisytiharkan keluarga tiga generasi itu sebagai warganegara dan Kamaladevi serta anak perempuannya mempunyai hak untuk mendaftarkan perkahwinan mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata, mahkamah mendapati Kamaladevi dan keluarga selaku plaintif, membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa mereka mempunyai hak untuk diisytiharkan sebagai rakyat.
"Tiada yang melarang proses pendaftaran individu tanpa kerakyatan malah tiada dalam Akta 1976 yang pertamanya mengehendaki seseorang itu perlu mengemukakan kad pengenalan sebelum perkahwinannya boleh diakad nikahkan atau didaftarkan,” katanya.
Noor Ruwena berkata, hanya kerana mereka tidak mempunyai kad pengenalan, JPN tidak sepatutnya menolak untuk mendaftarkan perkahwinan ibu Kamaladevi termasuk Kamaladevi sendiri dan anak perempuannya kepada lelaki tempatan.
Katanya, sebab perkahwinan ibu Kamaladevi tidak didaftarkan besar berkemungkinan disebabkan masalah buta huruf dan kurang kesedaran mengenai undang-undang.
Sebelum ini, semua plaintif memohon pengisytiharan melalui perlaksanaan undang-undang dan menyatakan mereka berhak mendaftarkan perkahwinan berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 di JPN.
Mereka menamakan Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Menteri Dalam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.
Sementara itu, kerajaan dilaporkan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan pengurusan kes ditetapkan pada 12 September depan.
Mengikut fakta kes, walaupun Kamaladevi mempunyai datuk dan nenek warga Malaysia, namun ibunya, Letchimee hanya mempunyai sijil kelahiran dan tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia sehingga ke akhir hayat.
Disebabkan itu, Kamaladevi tidak dapat mendaftarkan perkahwinannya dengan seorang lelaki Malaysia dan ketiga-tiga anaknya, termasuk dirinya tidak mempunyai kerakyatan.