KOTA KINABALU - Seorang pembantu tadbir di Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Keningau didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana menggunakan dokumen palsu untuk menipu bagi mendapatkan bayaran tuntutan tanah dalam projek di Keningau, 10 tahun lepas.
Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu setelah Justine Ongkomog @ Amran Mohd Osman, 54, mengaku bersalah atas lima pertuduhan alternatif yang dibacakan kepadanya.
Justine dituduh menggunakan dokumen palsu Borang Penyata Tanaman dan Lain-Lain untuk menipu mendapatkan bayaran tuntutan kawasan tanah terlibat dalam jajaran pembinaan Projek Naiktaraf Jalan Sook-Tulid Sinua, Keningau (Fasa 2) di Pejabat Pemungut Hasil Tanah, Keningau pada 2 Jun 2014.
Dokumen itu dikemukakan kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah, Keningau. Pertuduhan alternatif pertama melibatkan permohonan bayaran untuk geran tanah bernombor 98132290, kedua (98132289), ketiga (98132295), keempat (98132292), dan kelima (20-03131220).
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Tertuduh telah membayar denda terbabit.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!