Penipuan tender makanan di balai bomba rekod kerugian RM24,900 - Polis

Iklan
Pada Isnin, Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir dalam satu kenyataan, meminta orang ramai berhati-hati dengan taktik terbaharu penipuan 'scammer' bagi penawaran pembekalan makanan bermasak di balai bomba.

JOHOR BAHRU - Sebanyak enam laporan membabitkan kerugian RM24,900 direkodkan bagi kes penipuan 'scammer' bagi penawaran pembekalan makanan bermasak di balai bomba di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, laporan dibuat mangsa yang menjalankan perniagaan katering itu diterima antara Sabtu hingga Isnin lalu.

Iklan
Iklan

"Menurut mangsa, mereka menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali menawarkan tender pembekalan makanan untuk majlis-majlis yang akan diadakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor.

"Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran dalam jumlah tertentu ke akaun bank yang diberikan sekiranya mereka mahu mendapatkan tender berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurut Kumar, mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut seterusnya membuat pembayaran dan hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan dengan JBPM, di mana ia disahkan tidak benar.

"Polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun selain denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

"Orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran yang diterima secara dalam talian dan melalui telefon," ujarnya.

Tambahnya, semakan boleh dilakukan terlebih dahulu dengan agensi atau jabatan berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelak diperdaya.

Pada Isnin, Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir dalam satu kenyataan, meminta orang ramai berhati-hati dengan taktik terbaharu penipuan 'scammer' bagi penawaran pembekalan makanan bermasak di balai bomba.

Siti Rohani berkata, pihaknya telah menerima beberapa laporan daripada pengusaha makanan mengenai penipuan tawaran tersebut.