PUTRAJAYA - Kedutaan Malaysia di Beijing dan Konsulat Jeneral di Xi’an, China sentiasa berhubung dengan 49 rakyat Malaysia di Wuhan bagi mendapatkan perkembangan mereka susulan wabak 2019 Novel Koronavirus di Wuhan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk membawa kesemua mereka pulang ke negara ini.
"Buat masa ini kita bergantung kepada tahap kritikal keadaan, jadi buat masa ini belum ada cadangan (membawa pulang) rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat penyelarasan kluster 2019 novel koronavirus (2019 nCoV) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia yang berada di China, khususnya di Wuhan agar menghubungi pejabat kedutaan atau konsulat berhampiran bagi membolehkan kerajaan memantau keadaan mereka di negara itu.
"Kita juga nak nasihatkan rakyat Malaysia yang balik dari China sekiranya rasa tidak sihat dan sebagainya supaya mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini koronavirus tersebut dikategorikan sebagai jangkitan kluster di Malaysia kerana hanya membabitkan sekelompok kecil pelancong dari China.
"Buat masa ini, kes tersebut hanya membabitkan rakyat China dan tiada jangkitan dalam kalangan penduduk Malaysia.
"Status di Malaysia dikategorikan sebagai kluster, masih belum menjadi wabak kerana wabak bermaksud penyakit itu berada di mana-mana seperti di Wuhan,” katanya.
Mengenai prosedur pengesanan virus terhadap pelancong China, beliau berkata jika individu itu mempunyai simptom dan didapati positif virus tersebut mereka akan terus dirawat di hospital.
"Namun jika mereka positif tetapi tiada simptom kita akan letakkan mereka di bawah pemantauan selama dua minggu untuk tindakan seterusnya.
"Ini yang akan kita bincangkan dengan pihak kedutaan China untuk mendapatkan tempat bagi menempatkan mereka untuk tindakan pemantauan sepanjang tempoh tersebut,” katanya. - Bernama