Hukuman penjara bapa lakukan serangan seksual terhadap tiga anak dikurangkan

Iklan
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengurangkan tempoh hukuman penjara seorang bapa yang melakukan serangan seksual ke atas tiga anak perempuannya daripada 34 tahun kepada 26 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bagaimanapun mengekalkan hukuman 10 kali sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen ke atas lelaki berusia 45 tahun itu, yang juga bapa kepada enam anak.

Iklan
Iklan

Che Mohd Ruzima, yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan, membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh untuk mengetepikan sabitan namun membenarkan rayuannya bagi mengurangkan hukuman.

Dalam penghakimannya, Che Mohd Ruzima berkata, perayu gagal membuktikan bahawa Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam memutuskan kes itu.

Iklan

Pada 2022, Mahkamah Sesyen mendapati perayu yang juga bekas pemandu itu bersalah atas lima pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap anak-anaknya yang berusia 12,10 dan 5 tahun di di sebuah rumah di Taman Kledang, Perak pada 4 Jun 2019, 4 Mei 2019 dan 7 Mei 2019.

Pada Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman sebelum ini.

Iklan

Dia dihukum penjara 8 tahun dengan dua sebatan untuk setiap kesalahan membabitkan anaknya yang berusia 12 tahun dan 10 tahun manakala bagi kesalahan membabitkan anaknya yang berusia 5 tahun, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan.

Bagi kesalahan membabitkan anaknya yang berusia 12 tahun, hukuman penjara 8 tahun akan berjalan serentak.

Bagi kesalahan membabitkan anaknya yang berusia 10 tahun, Mahkamah Sesyen mengarahkan tertuduh menjalani hukuman selepas dia selesai menjalani hukuman sebelum itu membabitkan anaknya yang berusia 12 tahun.

Hukuman 10 tahun membabitkan serangan seksual ke atas anaknya yang berusia lima tahun pula bermula sebaik sahaja dia habis menjalani hukuman bagi dua kesalahan terdahulu.

Peguam Kathan Maruthamuthu dari Yayasan Bantuan Guaman Nasional mewakili tertuduh sementara Timbalan Pendakwaraya Atiqah Abdul Karim @ Husaini hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama