PADU tidak terikat dengan Akta 709 - Gobind

Iklan
Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR - Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengumpul data rakyat Malaysia bagi membantu kerajaan antara lain mengukur kedudukan sosioekonomi dengan lebih tepat dan tidak terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2024 (Akta 709).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ini kerana akta itu adalah bagi mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

Iklan
Iklan

"Sebab itu kalau tanya soalan adakah PADU terikat dengan Akta 709, jawapannya tidak kerana undang-undang ini distruktur sedemikian rupa bagi transaksi komersial.

"Itu menjawab soalan berkaitan PADU kerana PADU ini data di peringkat kerajaan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 sebelum ia diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data daripada jabatan serta agensi kerajaan untuk memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosioekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Gobind berkata ia tidak bermaksud kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak mempunyai liabiliti atau tanggungjawab dalam pengendalian data.

Iklan

Beliau berkata ini kerana terdapat undang-undang lain seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 dan pekeliling yang mengikat pegawai serta penjawat awam.

Mengenai rang undang-undang bagi meminda Akta 709, Gobind berkata, ia antaranya bertujuan menaikkan kadar denda daripada RM300,000 kepada RM1 juta bagi kesalahan dilakukan pengawal data atau pemproses data yang melanggar prinsip perlindungan data peribadi.

Beliau berkata rang undang-undang itu penting sebagai persediaan ke arah perkembangan teknologi dan penggunaan data yang semakin meluas pada masa depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!