SHAH ALAM - Seramai 60 pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor bakal menyertai pertandingan deklamasi sajak peringkat negeri itu sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024 pada 26 dan 27 Julai ini.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, pertandingan deklamasi sajak bertemakan bebas tersebut akan berlangsung pada dua sesi berlainan iaitu jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 26 Julai dan jam 2 hingga 4.30 petang pada 27 Julai bertempat di Studio My #QuranTime di Kumpulan Karangkraf di sini.
Menurutnya, pertandingan berkenaan terbahagi kepada enam kategori secara individu seperti sekolah rendah (SK), sekolah menengah rendah (SMR), sekolah menengah atas (SMA), kolej tingkatan enam (KTE), sekolah rendah swasta (SRS) dan sekolah menengah swasta (SMS).
"Pertandingan sajak ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan kreativiti malah dapat memberikan mereka pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.
"Selain itu, pelajar juga akan lebih cenderung untuk berfikir secara kritis dan kreatif sekali gus dapat memperluaskan pengetahuan mereka dalam bidang sastera serta bahasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Karnival Rakyat Karangkraf yang berlangsung pada 26 hingga 28 Julai ini akan bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini yang mana penganjurannya adalah bersempena ulang tahun Sinar Harian ke-18.
Tambah Nizam, orang ramai khasnya pembaca Sinar Harian dijemput hadir ke Karnival Rakyat Karangkraf untuk memberi sokongan kepada peserta.
"Dengan kehadiran dan sokongan pengunjung, kami yakin acara ini akan menjadi platform yang berharga bagi pelajar untuk menampilkan bakat dan kemampuan mereka.
"Marilah kita bersama-sama memeriahkan Karnival Rakyat Karangkraf. Semoga usaha ini dapat memupuk semangat perpaduan, kreativiti dan kecemerlangan dalam kalangan generasi muda kita,” katanya.