Pesawah masih terbeban dengan kos operasi

Iklan
Kenaikan harga diesel memberi kesan kepada pesawah apabila pemilik jentera terpaksa menaikkan harga upah membajak. Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri: Mohd Hasimi, Hussin, Aswadil Khairi)

DI SEBALIK keindahan memandang luasnya sawah padi di Kedah, golongan pesawah di negeri ini sebenarnya terbeban dengan pelbagai masalah setiap kali musim penanaman padi.

Antara masalah yang sering membebankan pesawah adalah harga belian padi, infrastruktur dan terbaru harga diesel yang telah meningkatkan kos pesawah.

Iklan
Iklan

Walaupun terbeban dengan pelbagai masalah, pesawah masih setia memerah keringat di sawah demi menjamin bekalan makanan negara.

Ikuti laporan wartawan ROSHILA MURNI ROSLI bagi mendengar sendiri keluhan pesawah Negeri Jelapang Padi ini.

Iklan

----

PENANAMAN padi merupakan sektor pertanian penting dalam membekalkan beras tempatan kepada negara.

Iklan

Baru-baru ini, sebuah syarikat tempatan, Koyan Utama Sdn Bhd bersama sebuah syarikat dari China menjalin kerjasama dalam projek perintis penanaman padi hibrid empat kali setahun.

Walaupun peruntukan RM5 bilion telah diumumkan untuk membaik pulih sistem pengairan MADA, pesawah melihat belum nampak ada sebarang tindakan di lakukan.

Ia akan dilaksanakan di kawasan padi kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis dan Kedah dalam tempoh terdekat. Projek ini dijangka dapat meningkatkan bekalan beras tempatan dalam negara.

Namun, dalam usaha untuk merealisasikan penanaman padi empat kali setahun, kerajaan perlu cakna nasib pesawah khususnya di MADA yang masih lagi bergelumang dalam pelbagai masalah yang tiada berkesudahan.

Seorang pesawah, Mohd Hasimi Khamsari, 37, berkata, untuk mengimbangi sektor penanaman padi dan beras negara, harga lantai padi perlu ditingkatkan kepada harga RM1,750 satu tan metrik memandangkan ketika ini harga beras tempatan bersamaan dengan beras import.

"Bila harga lantai padi masih rendah, kami para pesawah rasa tidak adil kerana kami yang tanggung segala peningkatan kos yang berlaku.

"Memang sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan harga padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 satu tan metrik untuk itu kami ucap terima kasih, tetapi nilai itu masih belum cukup mengimbangi kos operasi,” katanya.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata ini, dia berharap kerajaan dapat meningkatkan harga lantai itu pada musim hadapan.

"Kita mohon sangat kerajaan dengarlah rintihan pesawah kerana kami pun ada anak isteri dan keluarga untuk diberi makan,” katanya.

Hussin Yaakob, 62, berkata, masalah saliran dan perparitan juga antara isu yang sering membelenggu mereka setiap kali musim penanaman.

"Kadang-kadang ada saliran yang tidak dicuci mengikut jadual menyebabkan air dari sawah tidak dapat keluar dan akhirnya benih padi mati selepas proses menabur,” katanya.

Jelasnya, perkara itu menyebabkan mereka mengalami kerugian kerana terpaksa melakukan proses yang sama sekali lagi.

"Bila benih padi mati, kami terpaksa beli benih baru dan ulang lagi proses menabur, jadi kos operasi pun meningkat,” ujarnya.

Aswadil Khairi Che Omar, 40, pula berkata, kenaikan harga diesel memberi kesan kepada pesawah apabila pemilik jentera terpaksa menaikkan harga upah.

"Ini menyebabkan mereka tidak layak untuk menerima subsidi diesel yang diberikan dan akhirnya terpaksa meningkatkan bayaran upah kepada pesawah untuk menanggung kos operasi,” katanya.

Kaji semula masalah lama membelenggu pesawah

SEMENTARA itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, kerajaan perlu mengkaji semula semua isu berbangkit yang membelenggu pesawah sejak sekian lama.

Che Ani

"Kita lihat pelbagai masalah menjadi bebanan pesawah seperti harga lantai padi, saliran dan terbaru harga diesel.

"Bukan kami menidakkan bantuan-bantuan lain yang kerajaan beri namun ia masih belum meringankan para pesawah apatah lagi dalam keadaan menuju penanaman padi empat kali setahun,” katanya.

Katanya, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang telah mengumumkan peruntukan RM5 bilion untuk membaik pulih sistem pengairan dalam kawasan MADA.

"Cuma apa yang membimbangkan kami, setelah setahun lebih pengumuman dibuat, kami belum nampak ada sebarang tindakan.

"Diharapkan kerja-kerja yang sepatutnya berjalan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.