BULI siber atau gangguan siber adalah sejenis buli yang berlaku dalam talian. Ia dilakukan melalui teks, imej atau video untuk memalukan, mengugut, atau memaki hamun mangsa. Ia adalah ancaman dunia maya yang nyata.
Tekanan emosi dan trauma berpanjangan sehingga sanggup mencederakan diri antara kesan negatif yang terpaksa ditempuh segelintir pengguna media sosial yang menjadi mangsa kepada buli siber.
Lebih membimbangkan apabila ada antara mereka yang terpaksa bergantung kepada ubat selain mendapatkan rawatan doktor selepas disahkan menghidap penyakit mental.
Secara purata sebanyak 10 kes buli siber setiap hari berlaku di negara ini dalam tempoh dua tahun sejak 2022 hingga 9 Julai lalu, menurut data yang dikongsi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam tempoh terbabit, suruhanjaya berkenaan menerima 9,483 aduan kes siber buli di mana wanita paling ramai menjadi mangsa dengan 4,878 kes, manakala 4,605 kes berlaku kepada lelaki.
Sementara itu menurut Laporan Digital Global 2024, kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang, terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Kes terbaharu melibatkan kematian seorang pempengaruh TikTok, A Rajeswari atau lebih dikenali sebagai Esha membuktikan buli siber semakin parah dalam kalangan masyarakat hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kejadian-kejadian buli siber yang berlaku akhir-akhir ini.
Mangsa jenayah siber buli bukan hanya berlaku pada influencer sahaja, malah orang politik, artis, pemain bola sepak atau sesiapa sahaja.
Malaysia mempunyai Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan, namun undang-undang ini tidak cukup ampuh untuk menangani isu buli siber.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo telah mencadangkan undang-undang baharu bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaan termasuk kes membabitkan buli siber
Justeru, kita perlu menyokong usaha kerajaan melalui Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi untuk memperkukuh perundangan yang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu pada masa hadapan khususnya mengenai buli siber ini.