KUALA LUMPUR - Terduduk dan kehilangan kata-kata. Itu reaksi bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman sejurus dimaklumkan mengenai tragedi pesawat MH17 yang terhempas akibat ditembak peluru berpandu di ruang udara timur Ukraine, sedekad lepas.
"Saya tidak tahu... baru empat bulan sebelumnya berdepan dengan kehilangan pesawat MH370.
"Malah, semasa mendengar berita mengenai MH17, saya berada di China menyertai rombongan Menteri Pengangkutan yang baru dua minggu dilantik bertemu rakan sejawat negara itu, dengan MH370 antara inti pati akan dibincangkan mereka.
"Bagaimanapun, kami dikhabarkan pula dengan berita lebih pilu. Satu lagi tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS), yang terhempas dengan tiada siapa selamat," katanya membuka bicara pada temu bual bersama Bernama pada Rabu.
Pesawat Boeing 777 MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol, Belanda pada 12.31 tengah hari waktu tempatan (7.31 malam waktu Malaysia) sebelum Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine memaklumkan MAS bahawa mereka terputus hubungan dengan pesawat itu beberapa jam kemudian.
Pesawat itu meletup akibat terkena tembakan peluru berpandu dan terhempas menyebabkan semua 283 penumpang dari 17 negara terdiri daripada 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom (UK) serta 15 anak kapal MAS terkorban.
Mengimbau kembali, Azharuddin yang menerajui DCA selama 11 tahun bermula 2007 berkata beliau berasa pelik apabila ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China pada 12.30 tengah hari 17 Julai 2014 disambut pegawai MAS, yang kemudiannya menghulurkan pas masuk untuk beliau menaiki pesawat sama pulang ke ibu negara.
Baru mengharungi penerbangan sejauh lebih enam jam, perkara yang bermain dalam fikirannya ketika itu adalah pertemuan dua Menteri Pengangkutan dibatalkan pada saat akhir, namun hatinya mula tidak sedap selepas seorang pegawai mengajukan soalan 'Do you know something is going on in KL (Kuala Lumpur)?' (Adakah anda tahu sesuatu sedang berlaku di KL?).
"Saya segera menghidupkan telefon bimbit (dimatikan semasa menaiki penerbangan). Selepas itu bertubi-tubi pesanan masuk dan belum sempat saya memeriksa (mesej), isteri telefon memaklumkan one MAS flight crash (satu lagi nahas penerbangan MAS). Pegawai MAS juga menunjukkan berita mengenai MH17 di telefon pintarnya. Begitu banyak persoalan, maklumat datang serentak," katanya.
Anak jati Temerloh, Pahang itu menambah mereka pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat sama dan terus ke Pusat Operasi MAS sebaik tiba pada awal pagi 18 Julai 2014, dan antara kenangan tidak dapat dilupakan ialah semasa bertemu waris penumpang dan kru MH17 yang sudah berada di situ.
Ketika itu, Azharuddin ligat berfikir, apa harus diperkatakan kerana semua sudah tahu orang kesayangan mereka telah tiada.
Seperti dijangka, waris mahukan kepastian mengenai bila jasad mangsa dapat dibawa pulang dan beliau hanya dapat berjanji untuk mencuba sehabis baik mengambil kira lokasi terhempas adalah kawasan bergolak.Azharuddin bersama menteri dan pegawai Kementerian Pengangkutan serta MAS terus berlepas ke Kiev, Ukraine, dengan beliau hanya 'berbekalkan' bagasi sama dibawa ke Beijing.
Di Kiev, mereka menerima perkhabaran tidak dibenarkan ke lokasi kejadian dan selepas berdepan banyak percubaan, Malaysia akhirnya dibenarkan menghantar tiga wakil ke lokasi selepas mendapat kelulusan dari Organisation for Security and Cooperation in Europe (OSCE).
Selepas berbincang, Azharuddin berkata kuota itu diisi pegawai DCA juruterbang Kapten Philip J Selvaraju dan jurutera pesawat, Naemy Fahmy Mustafa serta Pengarah Penyelenggaraan dan Kejuruteraan MAS,Azhari Dahlan, yang perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda kalis peluru dan melalui banyak sekatan jalan raya oleh pelbagai pasukan pemberontak untuk ke lokasi.
"Mereka (yang dipilih) terlatih dalam membuat siasatan kemalangan udara dan sudah tahu apa perlu dilakukan seperti mengambil gambar, mengukur bangkai pesawat sebelum ia dialih atau dirosakkan, selain perlu membuat laporan awal. Paling mustahak ialah mendapatkan kotak hitam yang penting dalam siasatan.
"Apa yang tidak kami ketahui semasa itu, ialah kehadiran pasukan komando telah diarahkan secara sulit oleh pemimpin negara untuk ke lokasi kejadian melalui sempadan Rusia bagi mendapatkan kotak hitam dan menguruskan jasad mangsa keluar dari lokasi," katanya.Pasukan komando sebanyak 12 orang diketuai Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kol Mohd Sakri Hussin berjaya dalam misi itu selepas mendapat persetujuan Ketua Pemberontak Alexander Borodai di Donestk, Ukraine pada 21 Julai 2014.
Menurut Azharuddin, sepanjang tiga wakil Malaysia berada di lokasi kejadian, beliau dan delegasi Malaysia di Kiev sentiasa berdebar-debar menanti perkembangan laporan kerana pangilan telefon mereka juga sering 'diganggu' dengan bunyi letupan bom dan tembakan.
Mengulas mengenai kotak hitam, Azharuddin berkata beliau dimaklumkan bahawa kotak hitam MH17 menjadi 'rebutan' pelbagai pihak, menyebabkan arahan spesifik supaya kotak hitam dibawa keluar dari lokasi secepat mungkin, yang berjaya dilaksanakan komando Malaysia dikenali sebagai 'The Dozen Persons', dan hanya diserahkan kepada beliau.
"Mereka menaiki keretapi (membawa kotak hitam) dari Donestk ke Kharkiv selepas dimaklumkan untuk tidak menggunakan jalan raya kerana berisiko ditahan oleh pihak yang mahukan kotak hitam.
"Perjalanan keretapi mengambil masa lebih lapan jam. Kami sentiasa berhubung bagi memastikan keberadaan mereka, namun berdepan saat cemas apabila hubungan telefon terputus selama sejam," katanya yang turut berbangga dengan kecekapan wakil Malaysia dalam mendapatkan kotak hitam rebutan itu.
Setibanya di Kharkiv, Azharuddin berkata, pasukan komando dibawa ke Kiev menggunakan pesawat ihsan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kotak hitam MH17 diisi dalam sebuah beg untuk digalas oleh seorang anggota, yang memberitahu tidak pernah menanggalkan beg tersebut sepanjang perjalanan.Selepas itu, kotak hitam dibawa ke Air Accidents Investigation Branch (AAIB) di Farnborough, UK menggunakan pesawat khas Tentera Udara Belgium, namun perjalanan itu juga diuji apabila terpaksa menukar pesawat di Brussels, Belgium kerana jangka waktu juruterbang akan tamat sebelum selamat mendarat di pangkalan tentera udara di UK.
Azharuddin berkata, beliau antara individu terawal mendengar rakaman kotak hitam MH17, dan menurutnya tiada perkara mencurigakan dari perakam suara kokpit (CVR) mahupun perakam data penerbangan (FDR), selain data menunjukkan pesawat terbang pada ketinggian 33,000 kaki dan enjin berada dalam keadaan baik.
"Semuanya baik sehingga tiba-tiba rakaman CVR dan FDR terputus seperti radio rosak pada 4.20.03 petang waktu Ukraine atau 10.20.03 malam waktu Malaysia, membawa kepada kesimpulan awal berlaku letupan mengakibatkan sistem pesawat terhenti dan pesawat ditembak jatuh mengambil kira keadaan bangkai pesawat," katanya dan menambah FDR MH17 hanya merekodkan data sekitar tiga jam sebelum tragedi berlaku.
Tragedi MH17 juga membuatkan Azharuddin diaju pertanyaan mengenai laluan pesawat MAS di ruang udara berlaku konflik dan menurutnya ruang udara itu adalah laluan penerbangan yang amat sibuk dengan lebih 60 pesawat melaluinya setiap hari, manakala pada hari kejadian pesawat dari India dan Singapura turut menggunakan ruang udara sama.
"Kejadian itu meningkatkan waspada pihak terhadap keselamatan udara. Pihak yang mengawal ruang udara mempunyai konflik perlu mengisytiharkan perkara itu atau menutup ruang udara selain pihak berkuasa antarabangsa memaklumkan syarikat penerbangan yang tahu keberadaan kawasan tidak selamat perlu menguar-uarkannya supaya penilaian risiko boleh dilakukan," katanya.
Azharuddin terharu dengan sokongan pelbagai termasuk komuniti penerbangan antarabangsa yang menghulurkan bantuan sejak awal dan sama-sama mahu supaya keadilan ditegakkan buat penumpang MH17, MAS dan Malaysia yang turut berdepan dengan kehilangan MH370.- Bernama