SHAH ALAM - Masyarakat antarabangsa perlu terus mengheret Israel ke muka pengadilan, menghentikan serangannya serta-merta dan membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza.
Penasihat Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar), Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan sebuah negara yang melampaui batas kemanusiaan seperti mana yang terjadi ke atas masyarakat Palestin tidak boleh terus dinormalisasikan.
"Gencatan senjata adalah jalan terbaik dan kita perlu bersatu mendesak Israel supaya segera menamatkan pembunuhan etnik rakyat Palestin.
"Rakyat Palestin berhak mendapat hak yang sama rata iaitu sebuah negara yang berdaulat, sepertimana yang juga turut diiktiraf oleh 145 daripada 193 buah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, ujar Nurul Izzah, tindakan kejam Israel yang melibatkan perampasan tanah, penempatan haram, dan pengusiran telah menyebabkan pelanggaran hak asasi manusia secara sistematik terhadap rakyat Palestin.
Menurutnya, serangan ketenteraan, sekatan ekonomi dan kerosakan prasarana turut menyukarkan lagi usaha Palestin dalam membentuk negara yang stabil dan berfungsi.
"Bagaimana mungkin Palestin membentuk negaranya jika semua bangunan telah musnah dan nyawa rakyatnya telah banyak dibunuh secara kejam?
"Sudah tiba masanya kita membawa Israel kepada muka pengadilan dan menolak naratif penyelesaian dua negara yang sekadar merelakan rampasan tanah, perlakuan apartheid serta serangan genosid yang berterusan dengan dokongan kuasa-kuasa besar dunia,” ujarnya.
Sementara itu, ulas beliau, berdasarkan laporan jurnal, The Lancet, sehingga Jun tahun ini, dianggarkan lebih 138,000 rakyat Palestin telah dibunuh akibat serangan genosid rejim Israel.
"Serangan terbaru ke atas Sekolah Al-Awda di Abasan pula tambah mengorbankan berpuluh-puluh nyawa dan mencederakan ratusan lainnya.
"Beberapa hari selepas pembunuhan beramai-ramai tersebut, rejim Israel sekali lagi menyerang kem pelarian yang lain, iaitu kem Mawasi di Khan Younis dan Shati di Bandar Gaza.
"Pembunuhan kejam terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak, adalah tindakan yang melampaui batas kemanusiaan. Lebih tragis lagi apabila kawasan-kawasan ini adalah ‘zon selamat’, yang pada hakikatnya telah menjadi medan peperangan, menurutnya.