TAWAU - Seorang wanita melecur pada muka serta kaki dalam kejadian kebakaran melibatkan lapan rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, wanita berusia 31 tahun itu kini dirawat di Hospital Tawau.
"Bomba menerima panggilan pada jam 1.50 pagi dan setibanya jentera serta 20 anggota bomba di lokasi, terdapat lapan rumah serta empat kereta terbakar.
"Anggota bertugas menggunakan empat pancutan air daripada sumber pili bomba dan tangki air jentera bagi memadamkan api, pasukan bomba membuat fire break dan berjaya menyelamatkan 15 rumah lain daripada terbakar," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurut Jemishin, operasi ditamatkan pada jam 7.24 pagi dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan. - Bernama