JOHOR BAHRU - Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini pada Rabu mengetepikan hukuman gantung terhadap bekas pengawal keselamatan atas kesalahan membunuh remaja perempuan pada 2011.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Kalaiselvan, 59, dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bermula tarikh dia ditangkap pada 3 Julai 2011.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati bersalah membunuh anak kawannya, Nur Rahayu Qomarudin, 16, di Ladang Kelapa Sawit Sungai Masai dekat sini, antara pukul 2.30 pagi dan 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmad Fauzi memohon mahkamah mengekalkan hukuman gantung sampai mati kerana mangsa diperlakukan dengan ganas dalam kes berkenaan.
"Mangsa hanya berusia 16 tahun dan tiada sebab untuk dibunuh. Mangsa bukan hanya dipukul tetapi turut ditikam dileher dan dibakar dengan tulangnya turut dipotong," katanya semasa prosiding.
Sementara itu, peguam Kalaiselvan, Datin Kharen Jit Kaur memberitahu, tiada bukti kukuh pemohon yang melakukan perbuatan tersebut kerana terdapat seorang lagi rakan pelaku yang masih bebas dengan keterangannya tidak diambil.
Tengku Maimun kemudian menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap pemohon sebelum ini.
"Hukuman mati diketepikan dan digantikan dengan penjara selama 40 tahun bermula tarikh tangkapan pada 3 Julai 2011," katanya.
Terdahulu, Kalaiselvan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 Disember 2012 sebelum rayuannya turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 18 Mac 2014.
Kemudian, Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya pada 25 Ogos 2015 turut mengekalkan hukuman mati terhadap tertuduh.