Mangsa dihempap kayu balak sudah sedar, boleh bercakap

Iklan
Gambar kecil: Siti Norelyana

KOTA BHARU - Wanita yang parah selepas dihempap kayu balak terjatuh daripada lori di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di Gua Musang pada 9 Julai lalu sudah sedarkan diri serta boleh bercakap sejak Selasa.

Tunangnya, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, ketika dihubungi berkata, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, sudah tidak memerlukan bantuan alat pernafasan lagi selepas sedar daripada ditidurkan selama lima hari sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun dia masih beradai di ICU (unit rawatan rapi) dan masih dalam pengawasan pihak doktor.

"Alhamdulillah saya sudah dapat berborak dengannya walaupun percakapan tidak selancar mana, tetapi ia dapat menghilangkan rasa rindu serta kebimbangan kami terhadap dia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Menurut Nik Amnan Arif, doktor memberitahu Siti Norelyana seorang yang kuat semangat dan berada dalam keadaan positif.

Ujarnya, buat masa ini dia memilih berada di Kota Bharu untuk menemani tunangnya itu dan meninggalkan kerja di Gua Musang buat sementara waktu.

Iklan

Dia memberitahu, selain sentiasa menemani di hospital, solat hajat turut diadakan untuk memohon kesembuhan buat Siti Norelyana.

"Melihat dia (tunang) sedar pun sudah cukup menggembirakan kami.

"Alhamdulillah, dia (Siti Norelyana) juga dapat menggerakkan anggota badan namun dengan perlahan-lahan dan berhati-hati,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang wanita hampir maut apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang.

Kejadian jam 11.23 pagi itu berlaku apabila lori membawa muatan kayu balak terbabit terbalik ketika mengambil selekoh.

Difahamkan semasa kejadian Siti Norelyana dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo berkata, 'turn-table' patah menjadi punca kepada sebuah lori yang membawa muatan balak terbalik lalu menghempap motosikal yang ditunggangi wanita terbabit.

Pada masa sama kayu balak itu turut mengenai sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berhenti dipersimpangan itu semasa lampu isyarat mereka.

Ia berdasarkan maklumat siasatan awal yang diperoleh, bagaimanapun pemandu treler dan kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.