IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita cecair dipercayai minyak diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak dengan nilai keseluruhan RM92,735 menerusi Ops Tiris 3.0 yang dijalankan di Kawasan Perindustrian Menglembu di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi tersebut dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak kira-kira jam 9 pagi di sebuah kilang memproses makanan di kawasan perindustrian tersebut.
Menurut beliau, menerusi pemantauan yang dijalankan mendapati premis terbabit disyaki melakukan penyelewengan minyak diesel dengan modus operandi menggunakan sebuah lori tangki pemborong menghantar minyak diesel ke premis yang disyaki tidak mempunyai kebenaran menyimpan barang kawalan oleh Pengawal Bekalan.
"Kejayaan operasi ini adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama dua minggu di sekitar Ipoh.
"Pemeriksaan lanjut ke atas premis mendapati, premis tersebut juga disyaki menyimpan beberapa barang kawalan lain seperti minyak masak dan LPG untuk operasi kilang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan tersebut menemukan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 4,850 liter di dalam tangki lori dan di dalam sebuah tong dram, sebanyak enam tong LPG dengan berat setiap satu 50kg serta 102 botol minyak masak 5kg dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM92,7355.
Jelasnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta jika sabit kesalahan.
Menurutnya, pembekal barang kawalan yang terlibat juga akan disiasat dan jika terbukti terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang kerana melanggar Peraturan 9 (1) PPKB 1974 kerana menjual kepada pihak yang tidak mempunyai kebenaran pengawal.
Sementara itu, Kamalludin berkata, siasatan lanjut juga turut menemui dua alat timbang yang digunakan di premis membungkus produk kilang tersebut telah tamat tempoh tentusah.
Susulan itu katanya, satu lagi tindakan kes diambil di bawah Seksyen 14(6), Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana disyaki menggunakan alat timbang untuk tujuan perdagangan yang tamat tempoh tentusahnya.