Bunuh kekasih hamil: Bekas polis terlepas hukuman gantung

Iklan
Faizal (tengah) terlepas hukuman gantung atas kesalahan membunuh kekasihnya dan digantikan dengan penjara 40 tahun selepas prosiding di Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru pada Rabu

JOHOR BAHRU - Seorang bekas anggota polis terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini pada Rabu mengetepikan hukuman gantung terhadapnya kerana membunuh kekasihnya yang hamil pada 2015.

Hukuman mati terhadap Muhammad Faizal Salim, 47, yang ketika itu berpangkat koperal ditukar kepada penjara 40 tahun beserta 12 sebatan bermula tarikh tangkapan.

Iklan
Iklan

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Faizal didakwa membunuh Norzielawati Akmar Afandi, 35, di taman rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik di Mersing, Johor antara jam 11 malam 12 April 2015 dan 12.30 tengah malam 12 April 2015.

Iklan

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Norzielawati ialah hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala dan si mati juga mempunyai 47 kecederaan lain di badan seperti kesan lebam dan luka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah semakan permohonan pemohon dengan alasan kematian mangsa adalah tragis.

Iklan

"Bayi dalam kandungan juga sudah berusia enam bulan, sekali gus menyaksikan pemohon telah membunuh dua nyawa.

"Mangsa juga telah merayu agar tidak dipukul namun tidak diendahkan pemohon," katanya.

Sementara itu, peguam, Iskandar Shah Ibrahim dalam rayuannya pula berkata, ini bukan satu kekejaman yang ekstrem dan pemohon juga berniat untuk menghantar mangsa bagi mendapatkan rawatan.

Barisan panel tiga hakim kemudian bersetuju menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap pemohon sebelum ini kepada penjara dan sebatan.

"Hukuman mati diketepikan dan digantikan dengan penjara selama 40 tahun beserta 12 sebatan bermula tarikh ditangkap iaitu 13 April 2015," katanya.

Pada 21 Mei 2018, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Muhammad Faizal kerana perbuatan kejamnya itu.

Habin terlepas hukuman gantung atas kesalahan cuba membunuh reman wanitanya dan digantikan dengan penjara 38 tahun selepas prosiding di Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru pada Rabu

Sementara itu, seorang penganggur yang dijatuhkan hukuman gantung menarik nafas lega apabila berjaya dalam rayuannya selepas mahkamah sama mengenepikan hukuman itu atas kesalahan cuba membunuh teman wanitanya pada 2010.

Keputusan itu dibuat barisan panel hakim yang sama.

Hukuman ke atas Habin Noor Sulaiman, 56, kemudian digantikan dengan hukuman penjara selama 38 tahun kuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu 16 Disember 2010.

Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah semakan permohonan Habin Noor kerana mangsa ketika kejadian hamil, sekali gus pemohon telah membunuh dua nyawa.

"Mangsa bukan sahaja ditikam berkali-kali tetapi turut disimbah cuka getah di kepalanya menyebabkan 68 peratus kulit tubuhnya rosak menyebabkan peluang untuk hidup tipis.

"Mangsa meninggal dunia selepas 21 hari di hospital, membuktikan dia menanggung kesakitan dan penderitaan sepanjang tempoh itu," hujahnya.

Peguam Muhammad Abd Kadir yang mewakili tertuduh ketika ditemui di luar mahkamah pula memberitahu, dalam prosiding itu, beliau berhujah bahawa anak guamnya telah menjalani hukuman 19 tahun penjara serta lapan sebatan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa.

"Di peringkat awal, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum mangsa meninggal dunia. Dia sudah pun menjalani hukuman penjara itu," katanya.

Pada 3 Januari 2011, Habin Noor dijatuhi hukuman penjara 17 tahun di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi selepas mengaku bersalah cuba membunuh Nur Ain Ashikin Jemedi berusia 17 tahun ketika kejadian dengan menggunakan pisau.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara 17 tahun kerana menyimbah cuka getah sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan Habin Noor di Jalan Cemara 2, Kampung Baru Sungai Redan, Kota Tinggi pada jam 9.15 pagi, 16 Disember 2010.

Pada 2 Julai 2011, Habin Noor bukan sahaja gagal dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman penjara dan mengetepikan hukuman sebatan itu, malah ditambah lagi dua tahun penjara bagi kesalahan cubaan membunuh.

Cubaan permohonan rayuan mengurangkan hukuman diteruskan Habin Noor, namun pada 11 April 2013 dia dihukum penjara 23 tahun selepas pendakwaan terhadapnya dipinda ke Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Pada 16 Oktober 2014, sekali lagi Habin Noor gagal dalam rayuannya, malah Mahkamah Rayuan meminda pertuduhan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Pada 22 Mac 2016, Habin Noor gagal lagi dalam rayuannya dan Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.