Operasi WCP 2030 kedua bermula September ini

Iklan
Projek kedua WCP 2030 akan memulakan operasinya pada September ini.

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memulakan operasi projek Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) keduanya pada September ini.

Ia susulan projek WCP 2030 pertama iaitu modul rawatan air pengapungan udara terlarut 10 juta liter sehari (MLD) baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor yang beroperasi pada Disember 2023 telah menghasilkan sehingga 10 JLH air terawat tambahan untuk bekalan di Seberang Perai Selatan (SPS).

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulai Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, projek WCP 2030 kedua ialah Pakej 12A di LRA Sungai Dua yang akan membolehkan PBAPP mengeluarkan tambahan 114 JLH air terawat untuk disalurkan di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua.

Pathmanathan

Menurutnya, ia merangkumi beberapa kawasan di SPS dan daerah Barat Daya di bahagian pulau.

Iklan

"Kerja-kerja projek ketiga dan keempat WCP 2030 akan bermula pada November dan Disember tahun ini. Projek ketiga melibatkan pemasangan saluran paip sepanjang 13 kilometer (km) dari LRA Sungai Dua ke Butterworth.

"Projek keempat akan menyaksikan pemasangan 3.9 km lagi saluran paip 1.8 meter (m) dari kawasan Macallum ke Bukit Dumbar (bahagian pulau). Apabila beroperasi pada 2025, dua projek saluran paip utama ini akan mempertingkatkan dengan ketara kapasiti pengepaman air terawat PBAPP dari LRA Sungai Dua ke Barat Daya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Pathmanathan menambah, kemajuan kerja projek WCP 2030 setakat ini mencerminkan komitmen PBAPP untuk membangunkan infrastruktur bekalan air baharu dan tambahan di Pulau Pinang.

"Kita mengotakan apa yang dikatakan dengan memberi maklum balas terhadap permintaan air yang semakin meningkat daripada 689,786 pengguna air di Pulau Pinang.

"Sehingga kini, PBAPP telah melabur kira-kira RM51.52 juta untuk projek pertama dan kedua WCP 2030 serta Pelan Tindakan SPS pada 2023 dan 2024," katanya.

Jelasnya lagi, projek ketiga dan keempat WCP 2030 yang melibatkan kerja-kerja pemasangan paip utama di Seberang Perai dan kawasan pulau akan melibatkan pelaburan tambahan sebanyak RM172.0 juta pada 2024 dan 2025.

"Tiga objektif utama WCP 2030 adalah untuk menangani lonjakan 10 peratus dalam penggunaan air di Pulau Pinang sejak 2019 (sebelum pandemik Covid-19) dan memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030.

"Ia juga bagi mengurangkan risiko air yang wujud di Pulau Pinang berkaitan sumber air mentah yang terhad, perubahan iklim dan permintaan air yang semakin meningkat.

"Selain itu, ia bagi memberi masa sementara menunggu pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang bernilai RM4 bilion seperti yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini," katanya.

Beliau menambah, PBAPP juga akan membuat pelaburan tambahan RM18 juta untuk pemasangan saluran paip sepanjang 110 m dan berdiameter 1.35 m baharu di Sungai Perai pada 2024.

Kata beliau lagi, projek saluran paip menyeberangi sungai itu dijadualkan bermula pada September dan dijangka siap sebelum hujung tahun ini.