Kes buli siber Esha: Polis rakam keterangan ahli perniagaan

Iklan
Antara aksi Esha di TikTok. Mendiang yang mempunyai lebih 183,000 pengikut dipercayai menjadi mangsa buli siber.

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan seorang ahli perniagaan susulan laporan ibu kepada pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha berkaitan buli siber membabitkan anak perempuannya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, selain lelaki itu, polis juga akan memanggil dua lagi individu termasuk seorang pegawai polis wanita yang ditahan kerja dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Kita akan memanggil dua individu berkenaan untuk dirakam keterangan dalam minggu ini," katanya ringkas ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan ibu Esha, Puspa P Rajagopal, 56, membuat laporan membabitkan dua lelaki serta seorang wanita yang dikatakan memuat naik video serta membuat siaran langsung di media sosial berkaitan anaknya.

Iklan

Puspa berharap pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan buli siber supaya mereka dibawa ke muka pengadilan.

Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Iklan

Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Bertindak hasil makluman, dua individu yang dikaitkan dengan dua akaun TikTok terbabit telah ditahan secara berasingan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dua individu itu telah didakwa di dua mahkamah di sini, pada Selasa berkait kematian Esha.