Sasar satu Desa KEDA, satu produk

Iklan
Jamil Khir (tengah) beramah mesra dengan penduduk pada Majlis Penyampaian ADKM 2024 di sebuah dewan, Titi Gajah, di sini, pada Rabu.

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyasarkan setiap Desa KEDA mempunyai satu produk dalam usaha membantu penduduk menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka.

Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, semua Desa KEDA perlu mencontohi Desa KEDA Tepi Sungai, Kota Kuala Muda yang mempunyai produk tersendiri dan aktif mempromosikannya melalui media sosial.

Iklan
Iklan

"Saya sangat setuju dengan cadangan-cadangan ini (untuk melaksanakan) satu kampung, satu produk.

"Jika kita tengok di Thailand ada satu kampung, satu produk (dan) mungkin barangkali kita boleh perkenalkan satu kampung satu produk," katanya.

Iklan

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Desa Keda Madani (ADKM) 2024 di sebuah dewan,Titi Gajah, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA,Khairul Azmeer Abu Bakar.

Jamil Khir (tengah) bergambar dengan penduduk Desa KEDA Nagalilit pada Majlis Penyampaian ADKM 2024 di sebuah dewan, Titi Gajah, di sini, pada Rabu.

Iklan

Jamil Khir memberitahu, sehingga kini, terdapat sebanyak 56 Desa KEDA di seluruh Kedah.

"Bayangkan, jikalau 56 (Desa KEDA) ada produk sendiri, bayangkan 56 produk akan berada di pasaran daripada kampung-kampung Desa KEDA," katanya.

Tambah Jamil Khir, kebanyakan Desa KEDA terletak di lokasi berpotensi dan bersesuaian untuk dilaksanakan projek tertentu.

"Sebagai contohnya, Desa KEDA Sungai Udang terletak berhampiran laut, sekali gus mereka boleh mengusahakan bot pelancong untuk memancing dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jamil Khir berkata, KEDA mengambil inisiatif melaksanakan ADKM 2024 untuk memperkasakan desa KEDA ke arah pembudayaan desa sejahtera yang cemerlang.

Beliau memaklumkan, johan hingga pemenang tempat ketiga ADKM 2024 menerima tambahan hadiah berupa peruntukan bagi projek ekonomi, infrastruktur, pertanian dan keusahawanan pada tahun dengan jumlah keseluruhan RM180,000.

Menurutnya, johan ADKM 2024 akan menerima tambahan hadiah berupa peruntukan RM80,000,diikuti naib johan sebanyak RM60,000 dan tempat ketiga sebanyak RM40,000.

Kata Jamil Khir lagi, peruntukan diterima boleh membantu penduduk Desa KEDA melaksanakan projek-projek berkaitan misalnya tanaman fertigasi cili sebelum dijual di pasaran.

Beliau menyifatkan, peruntukan diterima melalui ADKM juga boleh digunakan untuk melaksanakan program keusahawanan termasuklah memulakan perniagaan.

"Inilah usaha yang sedang digemblengkan dan sudah digiatkan oleh KEDA pada hari ini," katanya.

Sebelum itu, Majlis Penyampaian ADKM 2024 menyaksikan gelaran johan menjadi milik Desa KEDA Nagalilit, Kulim yang membawa pulang sijil dan wang tunai bernilai RM4,000.

Desa KEDA Tanjung Setol, Pendang pula dinobatkan sebagai naib johan ADKM 2024 dan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil, manakala pemenang tempat ketiga iaitu Desa KEDA Ulu Bakai, Baling memperolehi sijil dan hadiah wang tunai RM2,000.

Enam Desa iaitu Desa KEDA Teluk Berembang,Langkawi; Desa KEDA Semeliang, Padang Terap; Desa KEDA Sungai Semiar,Sik;Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang,Kuala Muda/Yan; Desa KEDA Wang,Kota Setar/Kubang Pasu dan Desa KEDA Sungai Kechil Ilir, Bandar Baharu pula menerima hadiah saguhati sebanyak RM1,000 dan sijil.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Desa KEDA Nagalilit, Hasrul Nasir Shamsuddin,39, berkata, beliau amat terharu dan gembira apabila kerja keras penduduk membuahkan hasil apabila merangkul johan dalam ADKM itu.

Beliau berkata, Desa KEDA Nagalilit mempunyai keunikan tersendiri termasuklah tarikan ekopelancongan.

Sehubungan itu, katanya, pihak mereka berkemungkinan akan menggunakan peruntukan diterima untuk membangunkan produk pelancongan seperti inap desa demi menarik orang ramai berkunjung ke kawasan tersebut.