Lelaki didenda RM3,500 ceroboh bilik bedah Hospital Ampang

Iklan
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang bekas perunding kesihatan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Rabu, selepas mengaku bersalah menceroboh bilik bedah Hospital Ampang untuk mengambil ubat bagi kegunaan diri sendiri minggu lepas.

Majistret Normaizan Rahim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berusia 33 tahun itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa memasuki bilik bedah hospital berkenaan tanpa kebenaran pada jam 3.05 pagi, 9 Julai lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan bagi meringankan hukuman, peguam Ungku Ikram Athari yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya sedang menerima rawatan berkala kerana mengalami kemurungan, gangguan personaliti ganda dan skizofrenia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 2019.

Iklan

"Berdasarkan latar belakang anak guam, saya mohon mahkamah memberikan bon berkelakuan baik atau denda minimum kerana dia telah berjanji dengan ibu dan kakaknya yang hadir di mahkamah hari ini untuk tidak mengulangi kesalahannya,” kata peguam itu.

Menurut Ungku Ikram, ketika tertuduh berada di bilik bedah dia memang mahu mengambil ubat untuk merawat penyakitnya namun tertuduh didapati tidak berbuat demikian.

Iklan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi membantah permohonan bon berkelakuan baik kerana tertuduh telah membuat tindakan terancang dengan memakai pakaian bilik bedah untuk masuk ke bilik itu. - Bernama