SHAH ALAM - Pemilik perniagaan perlu memanfaatkan setiap masalah yang dihadapi sebagai satu ruang dan peluang untuk mengembangkan perusahaan.
Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, setiap entiti perniagaan perlu mempersiapkan diri untuk berhadapan masalah bagi tujuan melihat tahap keupayaan syarikat menangani hal berkenaan.
"Apabila bercakap mengenai ruang dan peluang, saya nak kongsikan bahawa setiap masalah merupakan satu peluang. Jadi jangan sesekali takut dengan masalah.
"Ketika negara berhadapan dengan Covid-19, semua orang berkurung dan takut dengan mati. Waktu ini, jualan al-Quran meningkat 800 peratus. Jadi maknanya (Covid-19 itu masalah), tetapi ia sebenarnya peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian dalam Program Bisnes, Zakat dan Jihad (Bizjihad) Siri Keempat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Program berkenaan juga menampilkan Pengasas Suka Sucre, Datuk Fazley Yaakub sebagai ahli panel dan acara turut dihadiri pemilik-pemilik perusahaan yang membayar zakat kepada LZS.
Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters berkata, setiap individu yang mahu berniaga perlu bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu.
Menurutnya, untuk memastikan setiap perniagaan dibina itu bertahan lama, ia memerlukan asas yang kukuh iaitu pengalaman.
"Sekarang saya lihat, ramai Orang Melayu terus nak jadi pengasas (jual produk sendiri).
Sebenarnya, kalau kita baca buku pertama yang ditulis Tun Dr Mahathir pada awal tahun 70-an atau 60-an dahulu, beliau kata Orang Melayu perlu mula meniaga kedai runcit.
Kamu perlu melalui proses itu (jual produk orang lain terlebih dahulu).Seperti saya, saya lalui proses itu.
"Ketika berusia sembilan tahun, saya mula meniaga jual ais batu. Saya beli blok ais berharga 70 sen, kemudian potong 10 dan jual semula dengan harga 10 sen setiap satu,” kongsinya.
Tambah Hussamuddin lagi, beliau berpegang kepada nasihat Allahyarham bapanya yang menyatakan bahawa setiap perkara dilakukan memerlukan visi jelas.
"Dari kecil lagi dia (ayah) beritahu kita (adik-beradik) setiap perkara yang dilakukan perlu ada perancangan. Perlu ada visi yang amat jelas dan paling penting visi mati nak masuk syurga.
"Untuk masuk syurga, kita perlu menjadi orang yang berjaya di dunia. Berjaya yang bagaimana? Adalah dengan menjadi orang berjaya yang barakah,” jelas Hussamuddin.