Urusan tuntutan jenazah Nur Farah Kartini perlu tunggu keputusan DNA

Iklan
Suasana di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh pada Rabu.

SUNGAI BULOH - Jenazah mangsa bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah tidak boleh dituntut hari ini berikutan perlu menunggu keputusan DNA selesai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses tuntutan boleh dilakukan selepas keputusan DNA diterima.

Iklan
Iklan

"Saya rasa mayat tidak dapat dibawa keluar hari ini dan mungkin mengambil masa beberapa hari lagi," katanya ringkas pada Rabu.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, juga memaklumkan pihaknya perlu menunggu keputusan DNA sebelum boleh menuntut jenazah.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan polis masih belum mengenal pasti punca kematian Nur Farah Kartini berikutan bahagian dada dan mukanya yang reput ketika dijumpai.

Hussein berkata, Pakar Patalogi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal terhadap beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat untuk mengenal pasti punca kematian.

Iklan

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira 6 petang, pada Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.