26 saksi dipanggil bantu siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini

Iklan
Hussein

HULU SELANGOR – [DIKEMAS KINI] Seramai 26 individu telah diambil keterangan bagi bantu siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25, setakat Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka yang dipanggil terdiri kenalan dan rakan sepejabat mangsa serta saksi awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa anggota polis yang merupakan rakan sepejabat suspek turut dipanggil bagi membantu siasatan.

"Ramai saksi telah dipanggil iaitu seramai 26 orang panggil untuk dirakam percakapan.

Iklan

"Antaranya kawan, anggota polis sepejabat dengan dia (suspek) selain saksi awam yang ada kaitan dengan siasatan ini," katanya ditemui di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang di sini pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira jam 6 petang, Isnin lalu.

Iklan

Mangsa dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, suspek juga bekerja sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal bertugas di Balai Polis Slim River, Perak ditahan pada hari yang sama.

Ditanya berkenaan status kerja suspek, beliau berkata, ia bergantung kepada siasatan kerana suspek kini dalam tahanan reman tujuh hari.

"Kemungkinan reman itu akan disambung sehingga maksimum.

"Kebiasaannya secara automatik, dia akan ditahan kerja namun bergantung kepada siasatan nanti," katanya.

Berkenaan status tuntutan jenazah Nur Farah Kartini pula beliau berkata, proses tuntutan jenazah tidak dapat diselesaikam pada hari ini kerana masih dalam proses pengecaman melalui DNA.

"Memandangkan menghadapi masalah pengecaman melalui visual, kita akan buat secara forensik melalui pengambilan sampel DNA ahli keluarga.

"Tempoh keputusan DNA itu bergantung kepada jabatan kimia yang mungkin mengambil masa selama beberapa hari namun kita akan mohon proses tersebut dapat dipercepatkan," katanya.

Pada Rabu operasi pencarian bahan bukti di lokasi kejadian menemukan sebuah telefon bimbit di kawasan parit.

Operasi pencarian bahan bukti diteruskan termasuk diperluaskan ke satu lagi lokasi terletak kira-kira 20 minit dari situ.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!