JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang memukul seorang wanita warga emas menggunakan kayu besbol dan merogolnya ketika nazak sebelum dibiarkan mati, terlepas hukuman gantung dan digantikan hukuman penjara 38 tahun dan 12 sebatan.
Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini pada Rabu mengetepikan hukuman gantung itu yang sebelum ini dijatuhkan ke atas Zulkiple Mohamad, 45.
Hukuman itu diperintahkan panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee berkata, Zulkiple telah memasuki kediaman mangsa melalui siling sebelum memukul bahagian kepalanya menggunakan sebatang kayu besbol.
"Ketika mangsa sedang nyawa-nyawa ikan, pemohon telah merogol mangsa dengan kesan kecederaan di bahagian kemaluan mangsa mendapati kejadian itu berlaku sebelum mangsa mati," katanya.
Dalam pada itu, peguam Zulkiple iaitu Mohd Radzi Yatiman pula berkata, Zulkiple tidak berniat untuk membunuh mangsa ketika memasuki kediaman itu.
"Kayu besbol yang digunakan bukan dibawa olehnya, sebaliknya ditemui di kediaman mangsa membuktikan dia tidak berniat untuk membunuh mangsa daripada awal.
"Selain itu, dia juga telah memberi kerjasama penuh sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung. Pemohon telah insaf dan menyertai pelbagai kursus sepanjang dipenjarakan," katanya.
Barisan panel tiga hakim itu kemudian bersetuju menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap pemohon sebelum ini kepada penjara dan sebatan bermula tarikh tangkap iaitu pada 21 Jun 2014.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!