SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi sokongan psikologi kepada keluarga mangsa bunuh, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah di Miri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, susulan kejadian tersebut pihak Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut memberikan bantuan segera kepada keluarga mangsa.
Menurutnya, kematian tersebut perlu mendapat keadilan dan setiap wanita tidak perlu melalui kejadian tragis itu.
"Saya telah menziarahi keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini dan pihak JKM akan memberi sokongan psikologi kepada mereka di Miri.
"Selain itu, pihak Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut memberikan bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya menerusi hantaran video Reels di Instagram pada Rabu.
Mengulas lanjut, menurut Nancy, semoga keluarga terus diberikan ketabahan dalam mendepani ujian tersebut.
"Semoga keluarga diberikan ketabahan dan dipermudahkan segala urusan pengebumian jenazah nanti,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mayat wanita itu ditemui kira-kira jam 6 petang.
Pemeriksaan awal mendapati, mayat terbabit dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim, Perak pada 10 Julai lalu.
Nur Farah Kartini, 25, yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.