PARIT BUNTAR - Seorang remaja lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun diselamatkan polis dalam Op Pintas Mega di sebuah kilang di Simpang Lima di sini pada Rabu.
Dalam serbuan sekitar jam 3.15 petang itu, remaja terbabit disyaki dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa di kilang memproses bahan kitar semula berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Perak dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) itu turut menahan 47 individu lain.
Pemeriksaan awal mendapati, kesemua warga Myanmar dan China berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa, tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan, menggaji warga kerja asing tanpa permit yang sah serta menyalah guna pas lawatan sosial.
Semasa serbuan, beberapa pekerja asing yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri dengan melompat pagar zink kilang ke kawasan belukar berhampiran.
Bagaimanapun tindakan tersebut berjaya digagalkan dan semua pekerja yang cuba meloloskan diri dapat diberkas semula.
Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, dalam operasi itu turut dikesan beberapa kesalahan dan pelanggaran di bawah undang-undang perburuhan iaitu Akta Kerja 1955 dan Akta 446.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan, majikan gagal mendapatkan sijil perakuan penginapan dari JTK, tidak menyediakan almari dan tilam yang mengikut spesifikasi ditetapkan selain melakukan pemotongan gaji tidak sah, membuat bayaran gaji secara tunai dan jam bekerja melebihi 45 jam seminggu.
"Maklumat awal yang kita terima terdapat 80 pekerja asing yang digajikan di sini.
"Hasil pemeriksaan dijalankan tadi kita dapati bilik penginapan yang disediakan kepada pekerja ini memang tidak kondusif untuk didiami manusia, malah keadaan dapur juga sangat kotor," katanya.
Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bagi siasatan mengikut Seksyen 14 Atipsom 2007 iaitu memperdagangkan orang yang merupakan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi.
Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966; Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1) (c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.