KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hala tuju kerjasama Malaysia-Iran tidak akan dipengaruhi campur tangan atau pengaruh pihak asing sebaliknya berpandu sepenuhnya kepada manfaat dan kemakmuran rakyat kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata, perkara itu disampaikan kepada Presiden Terpilih Iran, Dr Masoud Pezeshkian dalam perbualan telefon mereka hari ini.
"Perbualan kami kemudian menyentuh mengenai komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan Malaysia-Iran selain sedia memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi yang masih belum diteroka sepenuhnya," kata beliau.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Pezeshkian yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Iran pada 30 Julai ini selain menzahirkan harapan untuk melihat negara itu terus berkembang hebat di bawah pimpinannya.
Beliau juga mengucapkan takziah atas pemergian bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter pada 19 Mei lepas.
"Saya juga sempat menyatakan penghargaan atas pendirian teguh Iran dalam perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Palestin serta menentang kezaliman dan genosid yang dilakukan rejim Zionis Israel," katanya.
Perdana Menteri berkata, pada akhir perbualan itu, beliau menjemput Pezeshkian ke Malaysia sesegera mungkin dan pemimpin tersebut turut menjemputnya ke Iran untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara.
Pezeshkian, 69, yang juga bekas Menteri Kesihatan, dipilih sebagai Presiden Kesembilan Iran pada pilihan raya 5 Julai lepas. - Bernama