SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, usul menggantung dirinya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan jelas satu bentuk intimidasi dan penindasan ke atas ahli Parlimen pembangkang yang membawa suara rakyat.
Beliau menegaskan, ahli Parlimen pembangkang mempunyai imuniti dalam Dewan dan isi ucapan berhubung isu yang dikaitkan tidak termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Peraturan Dewan.
"Jelas Kerajaan Madani mahu menutup mulut para pejuang yang membantah penjualan saham MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) kepada GIP-BlackRock yang pro-Zionis dengan cara kuku besi dan taktik buli menggunakan kuasa majoriti Dewan Rakyat.
"Rakyat harus bangkit sambut perjuangan kami ini di Parlimen dengan terus membantah dan protes urus niaga ini yang jelas memudaratkan agama, bangsa dan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Wan Ahmad Fayshal dilapor berdepan kemungkinan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul bagi persidangan Dewan Rakyat, usul berkenaan akan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sejurus selepas selesai sesi soal jawab.
Susulan itu, Wan Ahmad Fayshal berkata, semua ahli Parlimen pembangkang akan melawan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada Khamis.