PADA Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam tugas perlu dikecualikan daripada menerima kenaikan gred secara automatik atau time-based.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).
Ujar beliau, golongan itu tidak sewajarnya menerima manfaat berkenaan walaupun sistem kenaikan time-based diberikan kepada warga pendidikan, khususnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sejak beberapa tahun lalu.
Kenyataan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Ada bersetuju dan ada yang sebaliknya dengan hujah tersendiri.
POSITIF
Peringatan PM kepada penjawat awam, guru
Memang saya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. Isu tentang dikecualikan kenaikan gaji kepada guru-guru mempunyai masalah disiplin itu, kita sudah ada peraturan sedia ada.
Jadi saya ingat itu sebagai satu peringatan Perdana Menteri kepada penjawat-penjawat awam khususnya guru.
Sebagai seorang guru, kita ada peraturan-peraturan bagaimana untuk melayakkan kita mendapat kenaikan gred secara automatik atau 'time-based'.
Kita berharap supaya apa yang disebut oleh Perdana Menteri itu tentang akan berlakunya pengumuman tentang kenaikan gaji nanti menjadi satu motivasi kepada semua guru supaya mereka dapat melakukan tanggungjawab dengan lebih baik bersandarkan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi gaji guru seperti mana yang dikehendaki oleh warga pendidik.
Ini kerana kita semua sudah sedia maklum 13 tahun tidak berlaku penyelarasan gaji kepada penjawat awam.
Jadi apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini amat baik, perlu diberi satu kepercayaan kepada kerajaan dan guru membalasnya dengan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.
Kepada guru-guru yang ada masalah seperti yang disebut tadi yang boleh menyebabkan dikecualikan daripada kenaikan gred ataupun gaji itu supaya memberi, mengambil perhatian berat kesannya amat tidak baik kepada perkhidmatan kerana ia mungkin mengganggu proses kenaikan gaji keseluruhannya.
Kalau dia kekurangan setahun ditangguhkan kenaikan gaji, kita boleh menjangkakan berapa jumlah kerugian yang akan ditanggung olehnya, sehingga dia pencen nanti. Dia perlu fikirkan perkara ini dan perlu berubah dengan segera.
* Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor
NEGATIF
Perlu lalui beberapa proses sebelum tidak dinaikkan pangkat
Tidak adil kalau kita terus tidak naikkan pangkat seseorang, mesti ada proses. Kadang-kala mungkin dia ada masalah perkahwinan atau keluarga buat sementara waktu tetapi selepas diberikan kaunseling dan beberapa proses pemulihan baik, dia kembali bersemangat dan boleh menjadi guru yang baik, tidak ada masalah.
Jadi proses itu berjalan. Tindakan untuk tidak menaikkan pangkat ini adalah tindakan kedua terakhir sebelum dia ditamatkan jawatan.
Kalau guru itu misalnya rasa tidak adil bagi dia, dia boleh bawa kes itu ke peringkat untuk aduan dan sebagainya.
Saluran itu memang telah ada, dia boleh buat aduan, tindakan dari segi undang-undang, dia boleh buat kalau dia rasa itu tidak adil pada dia sebab proses itu memang sudah berjalan.
Jadi saya punya pandangan, tidak boleh kita memberikan laluan kepada guru yang telah terbukti, melalui beberapa proses kaunseling, pemulihan dan sebagainya tetapi dia masih tidak berubah, jadi tindakan terakhir adalah dengan tidak menaikkan pangkat dia.
Saya rasa itu adil kepada semua pihak termasuk daripada murid-murid kita. Jadi maksudnya,sebelum ke peringkat untuk kita tidak naikkan pangkat kepada guru itu, mungkin sudah beberapa tahun sebelum itu, dia sudah melalui proses-proses lain, teguran, peringatan, amaran, beri kaunseling dan banyak lagi.
Kalau diikutkan amalan sekarang ini, jika tidak berubah mereka akan terus ditamatkan perkhidmatan atau terus berhenti. Itu lagi tidak adil kepada mereka.
* Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad