Perancis naik angin lagu rasis pemain Argentina

Iklan
Rakaman video memaparkan Enzo Fernandez mengetuai nyanyian berbaur perkauman terhadap pasukan Perancis di Instagram. Foto Agensi

PERSEKUTUAN Bolasepak Perancis (FFF) telah membuat aduan undang-undang terhadap Argentina selepas pemain mereka dirakam menyanyikan lagu bersifat perkauman dan homofobia.

Perbuatan itu dirakamkan secara langsung bintang Chelsea, Enzo Fernandez di dalam bilik persalinan ketika skuad Argentina meraikan kejayaan menjuarai Copa America 2024 selepas menumpaskan Colombia 2-0 pada Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Rakaman yang disiarkan di Instagram itu memaparkan Enzo dan beberapa pemain mula memperlekeh kegagalan Perancis di kejohanan Euro 2024 menerusi lagu berbaur perkauman.

Ia adalah lagu sama dilaungkan pemain Argentina ketika mereka menewaskan Perancis pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar.

Iklan

Lagu tersebut merujuk kepada pemain berketurunan Afrika atau imigran generasi pertama dan kedua yang memperkuatkan skuad Perancis.

Rakaman tersebut menimbulkan kemarahan Presiden FFF, Philippe Diallo yang mencabar rakan sejawatnya di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) untuk mengeluarkan kenyataan mengecam kelakuan anak buah Lionel Scaloni.

Iklan

"Amat mengejutkan dan bertentangan dengan nilai-nilai sukan dan hak asasi manusia.

"Kami akan membuat aduan undang-undang atas kenyataan bersifat perkauman dan diskriminasi ini,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan FFF.

Setakat ini, FIFA dan AFA masih belum memberikan respons terhadap permintaan FFF.

Chelsea pula dilapor sedang menyiasat perkara tersebut, manakala Fernandez sendiri telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Rakan sepasukan Fernandez di Chelsea, Wesley Fofana yang mempunyai satu kaps bersama pasukan Perancis mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan ia sebagai perkauman tanpa batasan.

Pada Piala Dunia 2022, pertubuhan antiperkauman SOS Racisme menyifatkan sentimen yang menganggap pemain skuad Perancis bukan penduduk negara itu sebagai ideologi sayap kanan.