Laluan sukar BN menang PRK DUN Nenggiri - Penganalisis

Iklan
Mohammad Tawfik

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dijangka menghadapi laluan sukar bukan hanya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tetapi juga jika menjadi calon bagi mana-mana PRK akan datang susulan keputusan PRK Sungai Bakap lalu.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, situasi politik masa kini menyaksikan nasib tidak menyebelahi BN menyebabkannya sukar untuk memperoleh kemenangan.

Iklan
Iklan

Justeru ujarnya, BN khususnya UMNO memerlukan tonik bagi mencipta kekuatan dan kepercayaan orang Melayu bagi mana-mana PRK sekalipun.

"Meskipun majoriti di Nenggiri 810 undi sahaja, tetapi di Sungai Bakap dengan majoriti kecil sebelum ini, PN mampu memenangi hampir dua kali majoriti berbanding sebelumnya.

Iklan

"Isu penyasaran diesel, harga barang yang tidak menentu akan menjadi senjata politik kepada PN untuk dengan mudah mengekalkan kerusi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai keputusan Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang bersetuju meletakkan calon daripada BN mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Nenggiri Ogos ini.

Iklan

Ditanya potensi Tengku Razaleigh Hamzah untuk dijadikan sandaran kemenangan buat BN, Mohammad Tawfik bagaimanapun melihat pemimpin veteran UMNO itu sebagai sudah hilang taring.

"Bagi saya zaman Ku Li dah berakhir, pengaruh beliau juga sudah makin berkurangan. Kehadiran Ku Li tidak membantu sangat kemenangan BN di Nenggiri,” ulasnya.

Sementara itu, Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, keputusan Kerajaan Perpaduan meletakkan calon BN sememangnya sudah dijangka.

Noor Nirwandy

Menurutnya, ketetapan itu penting untuk melihat penerimaan pengundi Melayu terhadap parti politik bertanding.

"Ini penting untuk bentuk keseimbangan politik dan pastikan Kerajaan Perpaduan, BN khususnya UMNO buka ruang bagi wujudkan manifesto politik pembangunan sosioekonomi demi kebaikan masyarakat setempat,” jelasnya.