KUALA LUMPUR - Orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kes kehilangan ahli keluarga mahu pun kenalan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, dakwaan perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan ialah mitos yang sering disebarkan banyak pihak tanpa asasnya.
"Ada yang kata perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini mitos semata," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, sekiranya sudah melakukan carian orang yang dirasakan hilang dan cuba hubungi tapi gagal boleh segera ke balai polis.
Katanya, ini sebagai langkah awal mengelakkan suatu insiden buruk berlaku terhadap individu yang dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar masyarakat terus memainkan peranan membantu menyalur maklumat mengenai kes orang hilang.
"Peranan masyarakat sangat dihargai dalam membantu pihak polis.
"Saluran di pelbagai medium kita hebahkan berkait kes orang hilang untuk orang awam bersama kita membantu siasatan kes," ujarnya.
Baru-baru ini tular pertanyaan daripada warganet mengenai prosedur operasi standard (SOP) mengenai laporan polis yang perlu dibuat berkait kes orang hilang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!