Lembaga Zakat Selangor bantu khunsa hilang pekerjaan

Iklan
Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni khunsa musykil tersebut yang terdiri daripada golongan asnaf miskin

SHAH ALAM - Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni seorang khunsa musykil yang kini hilang pekerjaan dan menumpang teduh di rumah rakannya.

LZS menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebbok memberitahu, individu berkenaan hadir ke kaunter pejabat mereka untuk mengemukakan permohonan bantuan namun tidak mampu bercerita lebih lanjut di kaunter bagi menjaga aibnya sebagai khunsa.

Iklan
Iklan

Menurut LZS, ketika lahir, pakar perubatan mengesahkan fungsi tubuh badan dan hormon individu tersebut dominan sebagai lelaki namun menginjak remaja dia mula didatangi haid secara luar biasa sehingga menyebabkan pendarahan teruk.

"Dia sebelum ini bekerja sebagai tukang masak hilang pekerjaan akibat kerap sakit dan majikan tidak mahu menerimanya kerana keadaan jantina. Kini rawatan pakar diteruskan dan akan dirujuk kepada pakar luar negara untuk membantunya.

Iklan

"Pihak Jabatan Mufti sedang menunggu laporan daripada pakar perubatan untuk mengesahkan status jantinanya yang sebenar. Kes ini sangat terpencil, kami di Zakat Selangor menyantuninya sebagai asnaf miskin dan dibantu untuk sewa rumah serta kewangan bulanan.

"Untuk kos perubatan akan dibincangkan di peringkat pakar dan hospital," ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook.

Iklan

Terdahulu LZS dalam kenyataan sama memaklumkan, individu tersebut berasal dari Negeri Di Bawah Bayu dan dilahirkan sebagai seorang yang mempunyai dua alat kelamin.

Dia disahkan sebagai khunsa dan hidup seorang diri selepas ayah serta ibunya meninggal dunia.

Merupakan anak tunggal dan dikatakan saudara mara tidak dapat menerima keadaannya menyebabkan dia membawa diri mencari rezeki di Semenanjung.

Tambah kenyataan itu, dari sudut pandangan fizikal, individu itu adalah seorang lelaki normal namun secara perubatan disahkan mempunyai dwi fungsi organ lelaki dan wanita.

"Dia tidak minta hidup begini bahkan bukan merubah jantinanya seperti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) namun inilah ujian buatnya dan kita semua.

"Kami manfaatkan wang zakat anda buatnya meneruskan kehidupan. Semoga ada sinar selepas ini bagi beliau hidup seperti orang biasa," jelasnya.