KUALA LUMPUR - Malaysia akan memberi tumpuan untuk memperkasakan industri melibatkan bahan-bahan bukan makanan yang menjadi keperluan penyediaan produk halal di peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, usaha sedia ada hanya dilakukan dalam skala kecil sedangkan terdapat potensi besar bagi memenuhi keperluan industri halal dunia.
Justeru menurutnya, Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) kini sedang mengkoordinasikan inisiatif dengan kerjasama pihak kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan bagi memanfaatkan tanah-tanah terbiar.
"Dalam industri halal ini malang sekali hanya sektor makanan dan minuman sahaja yang menjadi tumpuan, saya fikir untuk pergi ke peringkat antarabangsa kita harus mengusahakan agar banyak aspek lain seperti vaksin umpamanya yang sangat memerlukan vaksin halal.
"Paling penting adalah penyediaan bahan-bahan ramuan pada produk-produk berkaitan halal di peringkat antarabangsa, seperti serai, lengkuas atau bahan-bahan herba umpamanya. Ia sangat diperlukan di peringkat antarabangsa untuk pengeluaran kosmetik dan lain-lain bahan.
"Kita lihat usaha telah dilakukan namun dibuat secara kecil-kecilan... maka pihak majlis halal malaysia sedang mengkoordinasikan pihak negeri dan agensi lain supaya tanah-tanah terbiar dan kurang digunakan dapat ditanam dan mengeluarkan ramuan-ramuan yang diperlukan bagi pengeluaran produk halal peringkat antarabangsa," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum itu, beliau menjawab pertanyaaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pelan tindakan kerajaan untuk memperkasakan industri halal khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), syarikat bumiputera, syarikat luar bandar mahupun usahawan muda sejajar sasaran Malaysia menjadi peneraju pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025.
Beliau yang juga Pengerusi MPIH berkata, dalam usaha mempertingkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam industri halal, Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 telah menggariskan satu teras strategik yang memfokuskan kepada galakkan peningkatan daya saing syarikat Bumiputera.
"Halal Development Corporation Berhad (HDC) telah menjalankan pelbagai usaha antaranya program-program pembangunan melibatkan syarikat tempatan.
"Melalui program tersebut syarikat bumiputera akan diberi peluang untuk menceburi sektor halal yang berpotensi tinggi bagi memperkukuh rantaian bekalan serta pengadaptasian teknologi digital dan pengkomersilan produk-produk inovasi,"katanya.
Pada masa sama jelas beliau, sehingga Julai 2024, jumlah syarikat mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah sebanyak 9,146 buah syarikat.
Katanyanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 8,105 buah syarikat merupakan PMKS.
"Manakala, 3,616 syarikat adalah syarikat milikan bumiputera dan 5,270 merupakan bukan bumiputera. Jumlah Syarikat Multinasional (MNC) yang memperoleh sijil halal adalah sebanyak 1,041 syarikat," katanya.