VIJFHUIZEN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berusia lapan puluh tahun, yang dilihat memegang beg galas berwarna biru dengan tag tertera nombor penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di sini telah menceritakan nilai sentimental beg itu.
Anton Kotte yang membawa beg galas itu dengan perkataan ‘REMCO’, mendedahkan bahawa cucu lelakinya yang berusia enam tahun membawa beg galas itu untuk bercuti, ketika dia dalam perjalanan bersama ibu bapanya menaiki penerbangan MH17, pada 17 Julai 2014.
"Selepas setengah tahun pesawat itu terhempas, pihak berkuasa telah menghubungi saya dan bertanya jika saya mahu membawanya (beg galas) pulang. Saya kata saya mahukannya. Mereka bawa beg itu ke rumah saya. Mereka menunjukkan saya beg ini. Ini beg cucu saya paling kecil.
"Barangan miliknya seperti kereta permainan, pensil dan buku ada dalam beg itu. Tiada calar pada beg. Saya terima beg ini dalam keadaan baik. Ia tidak terbakar atau rosak akibat kemalangan. Ia satu keajaiban,” katanya dan menambah beg galas itu merupakan kenangan paling penting untuk beliau terhadap cucunya itu.
Sepuluh tahun lepas, warga Belanda itu pada ketika berusia 70 tahun kehilangan anaknya Oscar, menantunya Miranda dan cucu Remco Kotte dalam tragedi MH17.
"Kini saya berusia 80 tahun dan saya masih hidup, dari 10 tahun lepas hingga hari ini, tetapi kehidupan saya bersama anak saya telah dirampas secara kejam. Ia bukan satu perasaan yang baik. Mereka tidak bersalah,” katanya selepas upacara itu.
Terdahulu, lebih 1,500 ahli keluarga dan rakan mangsa dari seluruh dunia berkumpul pada upacara memperingati mangsa nahas itu yang ke-10 di Monumen Nasional MH17 di Taman Vijfhuizen berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam untuk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.
Turut hadir pada upacara itu ialah Raja Belanda Willem-Alexander.
Bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu, lima wakil media Malaysia termasuk dari Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah dijemput untuk menyertai upacara peringatan itu, selama tiga hari, mulai 15 Julai.
Program termasuk siri acara dan lawatan tapak yang dirancangkan untuk memberikan pemahaman mendalam tentang usaha dan kerjasama berterusan antara Belanda dan Malaysia, selepas bencana MH17.
Pesawat malang jenis Boeing 777 itu ditembak jatuh sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol dan mengorbankan kesemua 283 penumpang serta 15 anak kapalnya.
Pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhi hukuman penjara seumur hidup secara ‘absentia’ (tanpa kehadiran) ke atas dua bekas ejen perisik Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.
Seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov dibebaskan atas tuduhan sama. - Bernama