PUTRAJAYA - Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2024 (RFP 2024) yang berlangsung selama 11 hari bermula 22 Ogos depan bakal menggamit lebih 1 juta pengunjung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, penganjuran RPF 2024 yang memasuki edisi ke-13 itu diadakan di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya.
"Selama 11 hari penganjuran RFP 2024 bakal menerima kunjungan orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin sehingga Khamis, manakala waktu operasi bagi hujung minggu pula adalah pada 9 pagi hingga 12 tengah malam," katanya ketika ditemui pemberita di majlis Pra Pelancaran RFP 2024 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.
Menurutnya, penganjuran kali ini mengangkat bunga Petunia sebagai bunga tema acara.
"Ia terkenal dalam kalangan pecinta tanaman hiasan kerana kepelbagaian warna dan keindahan rupa bentuknya," ujar Zaliha.
Beliau berkata, penganjuran RFP 2024 bertepatan dengan matlamat perancangan dan pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berkonsepkan bandar taman pintar dengan menggabungkan elemen moden, pintar serta alam semula jadi serta diwarnai dengan kepelbagaian flora yang terdapat di Malaysia.
"Komponen utama bagi FRP2024 adalah pameran taman daripada lebih dari 30 jabatan dan agensi kerajaan termasuk PPj sendiri, agensi korporat dan swasta, persatuan serta pengusaha bunga serta sekolah dan institusi pengajian tinggi yang bakal mengetengahkan gabungan idea segar, teknik tersendiri serta reka bentuk unik dalam seni pameran," katanya.
Selain itu katanya, antara komponen lain yang menjadi tarikan utama adalah Astaka Flora iaitu pameran bunga-bungaan dalam bangunan yang menghimpunkan penyertaan daripada 10 buah negara bagi kategori gubahan bunga pameran dan pertandingan pelbagai kategori orkid, bonsai serta terrarium.
"Astaka Flora akan membawakan tema tropical wonders dengan menjanjikan keindahan koleksi tumbuhan tropika yang menyuntik suasana segar dan nyaman dalam hiasan taman serta bunga-bungaan.
"Lebih daripada 100 aktiviti sampingan, bengkel dan pengisian pentas turut disusun atur sepanjang acara berlangsung, disamping lebih daripada 50 gerai jualan Garden Bazaar, Hort Mart serta kraftangan," katanya.