SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu ditapis oleh Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menilai sama ada individu yang dicadangkan layak untuk dilantik.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia merupakan antara cadangan yang dibuat jawatankuasanya bagi membuat penambahbaikan terhadap suruhanjaya berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan amalan sedia ada, kuasa eksekutif pelantikan kebiasaannya diberikan kepada ketua majlis atau Perdana Menteri.
"Cadangan daripada kami ialah setelah adanya sesi libat urus, kerajaan perlu mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen, di mana senarai calon-calon yang diangkat perlu dibentangkan ke dalam jawatankuasa ini, yang akan diketuai oleh pembangkang untuk menilai mereka.
"Banyak lagi cadangan penambahbaikan yang kita buat dan akan dibentangkan di Dewan Negara pada minggu depan. Boleh dikatakan apa yang kita nak lakukan mempunyai banyak persamaan dengan laporan kajian Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), cuma kita tambah SOP (prosedur operasi standard), kaedah pelaksanaan, dasar dan seumpamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Laporan Kajian Reformasi SPRM oleh Bersih dan Forum Khas bertajuk 'Reformasi SPRM: Apa Yang Perlu' yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Khamis.
Program itu dihoskan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin dan Haizir Othman manakala panel lain yang turut serta ialah Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah.
Ditanya tentang lapan cadangan Bersih kepada kerajaan bagi melindungi kebebasan SPRM, Armand menjelaskan, perkara itu memang menjadi keutamaan kerajaan, namun perlu ada pemantauan bagi memastikan kebebasan yang diberikan tidak disalahgunakan.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara, saya merasakan lapan perkara yang dibentangkan itu amat penting.
"Sebagai contoh Bersih cadang mengehadkan tempoh jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada lima tahun. Saya cadangkan dua penggal iaitu enam tahun, lebih kurang sama tempohnya.
"Bagi saya, seseorang itu tidak boleh menggalas jawatan itu terlampau lama kerana takut ada perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Jadi, tempoh dua penggal bagi saya lebih ideal,” jelasnya.