Pelancong warga Maghribi mengaku cabul pekerja spa

Iklan
Tertuduh (kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pekerja spa di Pulau Perhentian Ahad lalu.

KUALA TERENGGANU - Seorang pelancong warga Maghribi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pekerja spa Ahad lalu.

Tertuduh, Nourou Yassine, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang merupakan wanita warga tempatan berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah spa di Pulau Perhentian, Besut kira-kira jam 9.15 malam.

Iklan

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 oleh dua orang penjamin warga tempatan.

Iklan

Selain itu, tertuduh diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Balai Polis Kuala Besut sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes dan hukuman ditetapkan pada 6 Ogos depan di Mahkamah Besut.

Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Norlee manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Izzat Norizam.