MELAKA -"Setiap hari adik saya menangis, emosinya terganggu sejak mengetahui insiden itu," luah abang kandung kepada isteri suspek pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25.
Lelaki berusia 40-an yang enggan namanya dikenali berkata, setiap hari dia melihat kehidupan adik bongsunya yang merupakan ibu kepada seorang bayi berusia lapan bulan ditemani air mata.
Anak ketiga dari tujuh beradik itu berkata, kini mereka sekeluarga perlu menemani isteri suspek berusia 25 tahun itu untuk memberikan sokongan moral agar dia tabah melalui hari yang mendatang.
"Tolonglah bantu adik saya dengan tidak mengeruhkan lagi keadaan ini," rayunya sambil menyeka air mata ketika ditemui di Pengkalan Batu di sini pada Khamis.
Tambahnya, sudah tentu adiknya berada dalam situasi getir lebih-lebih lagi suspek yang dikenali lebih lima tahun lalu disifatkan sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, suka membantu dan rajin.
"Demi adik, kami sekeluarga merayu agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih dan biarkan polis melakukan siasatan mengikut lunas undang-undang.
"Adik juga terpaksa menjauhi media sosial kerana takut untuk membaca pelbagai andaian dibuat dalam kes ini yang hanya akan memburukkan lagi gangguan emosinya.
"Orang tak berada di tempat kami, jadi mereka tak tahu bagaimana sakitnya perasaan ini apatah lagi adik saya mangsa keadaan yang langsung tidak bersalah dan tahu apa-apa," katanya lagi.
Jelasnya, pegawai kaunseling juga telah hadir ke rumah dan menasihatkan mereka sekeluarga untuk sentiasa menemani adik kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
"Adik sedang melalui ujian berat lebih-lebih lagi adik perlu memberi perhatian terhadap bayinya," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu ditemukan pada petang Isnin.
Mangsa didapati hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Perak.
Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh individu dikenali ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor, pada 6 petang, sebelum polis menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 26 tahun.
Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.