Rayuan Peter Anthony kes palsu kontrak UMS tangguh 1 Ogos

Iklan
Peter (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis, bagi prosiding pendengaran rayuannya hukuman jel dan denda, atas sabitan memalsukan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan UMS, pada 2014 lalu.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis, menangguhkan rayuan Datuk Peter Anthony yang dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan memalsukan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan pada 2014 lalu, ke 1 Ogos depan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan penangguhan oleh pihak pendakwaan.

Iklan
Iklan

"Mahkamah membenarkan pengangguhan untuk pihak responden (pendakwaan) mengkaji isu-isu yang ditimbulkan perayu.

"Oleh itu, responden boleh memfailkan hujahan tambahan, jika ada,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Hakim-hakim, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, penangguhkan dibuat bagi membolehkan pihaknya menilai isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sebagai perayu, semasa hujahan lalu.

"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah tidak dibenarkan permohonan ini, kami sedia untuk meneruskan prosiding sebagaimana yang dijadualkan,” katanya.

Iklan

Sementara itu, peguam, Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter, 53, tidak membantah permohonan berkenaan.

Menurutnya, atas arahan anak guam, pihak perayu memohon supaya tarikh awal dapat diberikan oleh mahkamah bagi pendengaran rayuan prosiding terbabit.

"Ia bagi membolehkan anak guam saya membersihkan nama sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Dia sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman jel maksimum tujuh tahun dan denda.

Sementara itu, ketika ditemui media, Wan Shaharuddin berkata, pada April lalu, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu mengemukakan representasi pertama namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC), pada hujung Mei lalu.

Beliau berkata, ahli politik itu memohon AGC menerima representasinya, supaya permohonan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda, dibenarkan.