SEREMBAN - Sebuah syarikat pemaju di Taman Bandar Senawang di sini mendakwa lokasi yang diserbu Jabatan Imigresen Rabu lalu bukannya penempatan haram warga asing sebaliknya rumah pekerja mereka.
Wakil pemaju dihubungi Sinar Harian berkata, lokasi tersebut telah dijadikan tempat tinggal pekerja sejak 2016, tetapi ia sentiasa berubah-ubah mengikut lokasi projek.
"Semua pekerja warga asing di bawah kami ada permit, tapi yang 11 orang ditahan itu mungkin pekerja syarikat sub kontraktor yang bukan di bawah kawalan kami sepenuhnya atau kawan-kawan pekerja kami yang datang bermalam di situ," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui yang ia tidak sepatutnya berlaku, namun sentiasa memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.
Jelas beliau lagi, berkenaan kemudahan elektrik dan air di situ, ia dipasang mengikut prosedur dengan membuat permohonan pada pihak berkaitan.
"Kami ada meter air dan elektrik sementara, bukannya ia dicuri. Malah sistem kumbahan turut disediakan.
"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dulu, pekerja kami ramai, tapi sekarang yang tinggal antara 40 ke 50 orang saja yang merupakan warga Indonesia dan Bangladesh," katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT D'Latania Taman Bandar Senawang, Zanifol Nizam Ahmad berkata, dia difahamkan yang lokasi terbabit adalah rumah pekerja warga asing yang disediakan syarikat pemaju.
"Masih ada lagi projek pembinaan yang belum siap di sini dan saya difahamkan yang itu adalah rumah pekerja mereka.
"Saya tak pernah masuk ke situ sebab ia berpagar. Tapi tahulah macam mana sebab boleh nampak dari luar," katanya.
Bagaimanapun katanya, kehadiran pekerja warga asing di situ tidak menganggu penduduk.
Sementara itu tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, kelihatan beberapa warga asing dan kenderaan yang keluar masuk di situ.
Turut kelihatan kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) yang membuat pemeriksaan penyambungan air di lokasi.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sebuah kawasan seluas 2,700 meter persegi di Taman Bandar Senawang yang dahulunya menjadi tempat tinggal pekerja warga asing yang bekerja di tapak projek di situ kini dipercayai dijadikan lokasi penempatan haram mereka.
Lokasi yang dikelilingi hutan dan berpaya itu dikatakan turut menyediakan 'penginapan' kepada kelompok mereka yang tiada tempat tinggal dengan mengenakan bayaran RM50 semalam.
Dalam serbuan dilakukan, seramai 69 warga asing diperiksa dan 11 daripadanya merupakan PATI ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa.
Kesemua mereka merupakan warga Indonesia dan Bangladesh berusia antara 24 tahun hingga 60 tahun.