Trio berbasikal trek sedia gegar Paris

Iklan
Hamidin (dua dari kanan) bersama pelumba basikal trek negara di Sepanyol. Foto FB OCM.

SKUAD berbasikal trek negara diketuai Datuk Azizulhasni Awang sudah bersedia bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadulkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Azizulhasni dan dua lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri cukup bersemangat bagi menggalas cabaran negara di pentas Olimpik kali ini.

Iklan
Iklan

"Sebaik saya di sini (Mallorca, Sepanyol) pada Rabu, saya telah mengadakan pertemuan dengan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah memandangkan mereka sudah mula menjalani latihan di Velodrom Illes Balears.

"Saya sempat makan tengah hari bersama mereka. Dalam pertemuan itu, saya bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat sebelum mereka berlepas ke Paris bagi menghadapi Sukan Olimpik.

Iklan

"Saya lihat mereka cukup teruja dan penuh bersemangat untuk menghadapi Sukan Olimpik di Paris nanti. Malah, mereka berpuas hati dengan persiapan dan latihan yang dilakukan di Sepanyol,” katanya.

Terdahulu, Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nuruz Izzah bagaikan mendapat suntikan ‘semangat baharu’ apabila menerima basikal baharu berteknologi tinggi WX-R Vorteq yang didatangkan khas dari United Kingdom.

Iklan

"Jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley gembira apabila basikal baharu itu dapat digunakan oleh ketiga-tiga pelumba negara dalam sesi latihan di Sepanyol. Sudah tentu ia menjadi satu lagi lonjakan semangat buat mereka.

"Daripada pemerhatian saya pada sesi latihan hari ini (Rabu), baik Azizulhasni, Shah Firdaus mahupun Nurul Izzah, mereka tampak cukup bersemangat dan sudah bersedia menggegarkan temasya Olimpik Paris,” ujar Hamidin.

Dalam pada itu, Azizulhasni yang bakal membuat penampilan kelima di pentas Olimpik berkata, beliau bersama Shah Firdaus dan Nurul Izzah berazam menghadiahkan kejayaan buat kontinjen Malaysia di Paris.

"Kami bertiga berada dalam kondisi terbaik menjelang temasya Olimpik Paris. Saya juga bersyukur kerana kami dapat menggunakan basikal baharu pada kem latihan di Sepanyol.

"Bagi diri saya sendiri, inilah kemuncaknya untuk meraih pingat emas sekalipun saya sedar bakal mendapat tentangan daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain.

"Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia.

"Di kesempatan ini juga, saya mewakili dua rakan lain (Shah Firdaus dan Nurul Izzah) ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) atas segala bantuan yang diberikan termasuk basikal baharu ini,” ujar Azizulhasni.

Nurul Izzah pula berterima kasih kepada semua pihak terlibat terutamanya Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sehingga membolehkannya beraksi buat kali pertama di pentas Olimpik.

"Tanpa sokongan dan bantuan para pegawai MSN dan ISN, sudah tentu sukar bagi saya untuk membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik di Paris. Banyak sumbangan mereka sehingga saya terpilih,” kata Nurul Izzah yang kini digelar The Pocket Rocketwoman.

Shah Firdaus yang bakal tampil kali kedua pada temasya Olimpik selepas edisi 2020 di Tokyo, Jepun mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar mereka meraih keputusan positif di bumi Paris.

"Segala persiapan berjalan lancar sebaik kami menjalani latihan di sini. Kami berharap segala-galanya juga berjalan dengan baik apabila bermulanya Sukan Olimpik Paris nanti yang berbaki kurang dua minggu lagi,” ujarnya.