Operator kilang maki polis didenda RM5,450

Iklan
Daniel (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.

MELAKA - Gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, seorang operator kilang didenda RM5,450 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku salah atas tiga tuduhan melakukan perbuatan itu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, J Daniel, 31, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Sharda Shienha turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang sedang bertugas.

Iklan

Kesalahan tersebut dilakukan di Balai Polis Banda Hilir, di sini, pada jam 12.30 pagi, 17 Jun lalu.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967 yang boleh didenda sehingga RM500 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah terhadap dua anggota polis yang sedang bertugas

Kesalahan itu dilakukan di lampu isyarat Hotel Doubletree di persimpangan Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir di sini, pada jam 12.25 pagi, tarikh yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didapati bersalah menghalang tugas dua anggota polis yang menjalankan fungsi awam di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang diwakili peguam S Daniel memohon hukuman denda dikenakan terhadap tertuduh yang bekerja sebagai operator kilang kerana ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM450 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, Daniel didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan denda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda dalam pertuduhan ketiga.