MALAYSIA berada di landasan yang tepat untuk menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih baik.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan data positif lonjakan perdagangan negara pada separuh pertama 2024 dan jumlan pelaburan diluluskan setakat suku pertama.
Menurutnya, pada separuh pertama 2024, perdagangan meningkat 8.4 peratus kepada RM1.4 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Pelaburan diluluskan pula berada pada RM83.7 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, naik 13 peratus berbanding RM74.1 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lalu," katanya pada sidang akhbar Pengumuman Kad Laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Bagi Suku Kedua 2024 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, MITI melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan peningkatan lima peratus dalam pelaburan yang diluluskan pada tahun ini melebihi RM329.5 bilion pada tahun lalu.
"Kita sebenarnya sudah melepasi sasaran pelaburan ini pada suku pertama. Jika perlu kita akan semak semula perkara ini dan terus memantaunya kerana ia bergantung kepada tiga sektor ekonomi termasuk pembuatan.
"Sasaran pertumbuhan itu juga selari dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya
Mengulas lanjut mengenai pelaburan sektor digital beliau berkata, untuk suku pertama 2024, Malaysia berjaya menarik pelaburan digital berjumlah RM162 bilion.
"Sektor pelaburan digital ini memberi peluang 49,108 peluang pekerjaaan tempatan melibatkan pelaburan syarikat digital seperti Amazon dan GDS Holdings Ltd, YTL dan ByteDance etc.
Bagi sektor pelaburan hijau beliau berkata, pelaksanaan Strategi Pelaburan Hijau bakal memperlihatkan pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau secara lebih berkesan, teratur dan sistematik untuk Malaysia.
"Antara sasaran utama adalah untuk menarik hampir lapan kali ganda jumlah pelaburan ke Malaysia bagi mencapai objektif NIMP 2030 dan NETR, memastikan pelaburan di dalam tujuh teras utama rendah karbon, memanfaatkan pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi hijau dan menambah baik ekosistem pelaburan hijau,” katanya.
Jelasnya, kesemua ini dilihat akan mampu merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi dalam industri hijau serta mewujudkan pekerjaan baharu dan pembangunan kemahiran dalam industri hijau.
"Ini bakal meningkatkan imej dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau pilihan serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam sektor teknologi hijau,” katanya.
Keputusan tersebut telah dibuat semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN 5/2024) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.