ATLET kebangsaan Amir Daniel Abdul Majeed menjadi sandaran pasukan judo Pulau Pinang bagi mengutip pingat emas buat kontinjen negeri itu pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 21 Ogos depan.
Sukma Sarawak merupakan penampilan ketiga buat Amir Daniel, 20, dalam temasya dwi tahunan itu dan akan bertanding untuk kategori bawah 81 kilogram (kg).
Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu yakin mampu mengekalkan prestasi dengan mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lepas di Lembah Klang dan tempoh masa berbaki sebulan ini akan digunakan sebaik mungkin bagi mempertingkatkan lagi latihan.
"Persiapan setakat ini berjalan lancar dan saya bersyukur sebab sekarang tak banyak kelas jadi boleh fokus sepenuhnya kepada latihan sehari dalam dua ke tiga sesi dengan setiap sesi mengambil masa dua jam.
"Saya ada sebulan lagi untuk memperbaiki apa yang kurang tapi buat masa sekarang saya boleh kata sudah sedia sepenuhnya dan yakin mampu dapatkan emas buat pasukan," katanya ketika ditemui ketika menjalani latihan di Tanjong Tokong.
Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham itu berkata, kejayaan meraih emas dalam beberapa penyertaan di luar negara termasuk yang terbaharu Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Surabaya Indonesia bulan lepas turut membantu dalam persiapannya menjelang Sukma di samping menjadi pembakar semangat untuk terus mempamerkan aksi cemerlang.
Namun, Amir Daniel tetap akan berhati-hati dengan pihak lawan dan menjangkakan saingan sengit akan diberikan atlet Johor memandangkan mereka kerap kali bertemu antara satu sama lain sebelum ini.
Sementara itu, seorang lagi atlet, Ng Yi Heng turut berazam untuk memperbaiki pencapaiannya yang memperoleh pingat perak pada edisi lepas dengan menyasarkan emas di Sarawak kali ini.
"Saya memang harap dapat menghadiahkan emas buat pasukan judo Pulau Pinang tetapi tidak boleh terlalu yakin sebab sukan ini ada risikonya terutama saingan pihak lawan.
"Apapun saya akan buat yang terbaik tambahan persediaan secukupnya telah dibuat dengan menjalani latihan secara intensif setiap hari selain mendapat pendedahan melalui penyertaan kejohanan di luar negara," katanya.
Sementara itu, jurulatih judo Pulau Pinang, Md Nashriq Md Nasir berkata, pasukannya bersedia untuk memberikan cabaran dan yakin mampu menghadiahkan dua pingat emas untuk Pulau Mutiara seperti yang disasarkan.
Beliau mengakui amat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan setiap atlet setakat ini dan berharap semua dapat mengekalkan disiplin yang menjadi elemen terpenting sering ditekankan dalam apa juga kejohanan disertai.
Secara keseluruhan sebanyak 13 atlet lelaki dan wanita akan mengambil bahagian dalam 12 kategori yang dipertandingkan.
"Kita jangkakan emas daripada Amir Daniel dan satu lagi daripada kategori Ju No Kata lelaki tetapi yang lain (jika dapat emas) satu bonus buat pasukan. Macam edisi lepas kita dapat lima emas, namun untuk Sukma kali ini ramai yang sudah tiada kerana melepasi had umur 21 tahun.
"Atlet yang kita bawa ini adalah yang terbaik dan harap mereka balik dengan pingat. Walaupun sasaran kita dua emas tetapi yang lain pun akan berjuang untuk pingat emas juga," katanya.
Pada edisi Sukma ke-20, pasukan judo Pulau Pinang memenangi lima emas, tiga perak dan dua gangsa.