DALAM usaha melahirkan masyarakat yang berinteraksi dengan al-Quran, Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menganjurkan program Terengganu Bertadabbur Siri II di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada Isnin.
Program selama sehari itu dirasmikan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan dihadiri 500 peserta pelbagai latar belakang termasuk pelajar, pendidik dan masyarakat awam.
Yayasan Pendidikan MAIDAM dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk menjadikan al-Quran sebagai prinsip kehidupan harian selain menyemat nilai-nilai insaniah dalam diri masyarakat.
"Surah al-Jumu’ah juga menggariskan betapa pentingnya keseimbangan dan kesederhanaan pada individu dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Menurutnya lagi, Terengga Bertadabbur Siri II menterjemahkan salah satu fungsi Yayasan Pendidikan MAIDAM dalam menguruskan Dana Sumbangan Pendidikan bagi mencapai objektif mempromosikan pembangunan pendidikan kepada masyarakat khususnya di Terengganu.
Program turut dimeriahkan dengan kehadiran panel jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Fazrul Fahmee Ismail dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.
Pihaknya berharap program ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan jaringan bersama rakan-rakan strategik dapat dipergiatkan.
"Yayasan Pendidikan MAIDAM turut berharap program ini dapat memberi impak positif dalam meningkatkan pemahaman umat Islam terhadap nilai-nilai murni dalam agama seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.