KUALA LUMPUR - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) melaksanakan program pelepasan 36,36600 ekor benih spesies ikan asli di Tasik Varsiti, universiti itu, pada Khamis.
Ini bertujuan bagi meningkatkan populasi dan memulihara kepelbagaian biodiversiti perikanan darat di Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, spesies ikan asli tempatan yang dilepaskan ialah lampam sungai, terbul, kerai, baung dan induk kelah bernilai RM24,200.
Menurutnya, berdasarkan kajian inventori yang dijalankan oleh Pejabat Perikanan Kuala Lumpur/Putrajaya dengan kerjasama Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC), Pusat Sukan dan Jabatan Harta Benda UM, Mei lalu telah mengenal pasti empat spesies ikan asli di Tasik Varsiti UM iaitu lampam sungai, ketutu, kelah dan kerai.
"DOF bersama UM bersetuju menjadikan tasik ini sebagai bank penyelidikan ikan asli bagi langkah konservasi untuk mengekalkan kemampanan spesies tersebut di perairan Kuala Lumpur.
"Program pelepasan ikan asli ini wajar dipergiat sebagai pendedahan kepada penuntut universiti khususnya dan orang awam berkenaan kepentingan menjaga ikan asli di perairan umum serta memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan perairan tidak tercemar," katanya selepas program di sini pada Khamis.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Profesor Dr Kaharudin Dimyati berkata, UM sebagai salah satu universiti penyelidikan di negara ini sentiasa berusaha untuk menjalankan penyelidikan yang berimpak tinggi.
Jelasnya, penyelidikan berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti di Tasik Varsiti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik, tetapi juga kepada masyarakat umum.
"Ia memberikan peluang memperkaya pengetahuan dan kemahiran bersama," ujarnya.
Pada program yang sama turut diadakan pameran berkenaan peralatan-peralatan yang dilarang, spesies-spesies ikan yang dibenarkan dan dilarang dilepaskan di perairan umum.
Turut hadir Pengarah Eko Kampu Pusat Pembangunan Lestari UM, Dr Muhammad Azzam Ismail dan Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, Suhanah Kassiron.