CYBERJAYA - Penyerahan 58 kenderaan penguat kuasa yang baharu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di peringkat negeri diharap dapat mempertingkatkan keupayaan jabatan itu menangani kesalahan lalu lintas.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Rospiagos Taha berkata, usaha menggantikan kenderaan jabatan itu merupakan langkah penting dalam memperkasakan peranan JPJ di seluruh negara.
Beliau berkata, aset kenderaan penguat kuasa yang baharu itu mampu menjadi pemangkin untuk mempertingkatkan keupayaan, produktiviti dan kesiapsiagaan penguatkuasaan JPJ.
"Kenderaan ini merupakan penggantian kenderaan yang digunakan sebelum ini.
"Ia merupakan suatu keperluan yang mendesak kepada JPJ kerana sehingga ke hari ini, JPJ masih lagi menggunakan kenderaan yang berusia 10 hingga 12 tahun," katanya pada Khamis.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan kenderaan bagi kegunaan petugas di ibu pejabat dan JPJ negeri di Bahagian Teknologi Digital JPJ, di sini.
Hadir sama pada majlis itu wakil Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, S Eugene Sylester dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli.
Rospiagos berkata, penyerahan kenderaan tersebut merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Cakna Madani Agensi Penguat Kuasa pada 2023.
Kata beliau, pada program tersebut, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada agensi penguatkuasaan.
Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan yang diterima JPJ telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM10.4 juta bagi perolehan kenderaan penguat kuasa.
Katanya, pada awal tahun ini, sebanyak lima kenderaan jenis Toyota Fortuner 2.7 SRZ masing-masing telah diserahkan kepada JPJ Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan serta Johor.
Jelasnya, penyerahan itu dibuat semasa majlis perasmian litar latihan dan ujian memandu APJM di Melaka yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan.
"JPJ mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan dan sokongan keperluan kenderaan penguat kuasa bagi jabatan ini," ujarnya.